Mahkamah Tinggi Kangar hari ini menyemak semula hukuman ke atas Ahmad Harizal Ahmad Fauzi, 18 remaja pertama di hukum mengikut Akta Latihan Khidmat Negara 2003 dengan meletakkannya dalam jaminan bon RM500 dengan seorang penjamin bagi tempoh setahun.

Mahkamah Majistret Kangar pada 10 Mei lalu menjatuhkan hukuman denda RM600 atau penjara 14 hari ke atas Ahmad Harizal setelah remaja itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003 kerana gagal mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Menurut laporan Bernama , remaja itu memilih dipenjarakan kerana tidak mampu membayar denda. Dia dibebaskan sehari kemudian setelah didendanya dibayar oleh pihak lain.

Hakim Datuk Hasan Lah dalam penghakimannya berkata Mahkamah Tinggi mengambil kira laporan akhlak, reaksi orang ramai, rayuan keluarga, minat remaja itu terhadap PLKN, kemiskinan hidup dan permohonan semakan oleh pendakwaraya sebelum membuat keputusan itu.

Selain itu, katanya, isu kewajaran hukuman sebelum ini mengikut Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara yang sabit kesalahan, boleh membawa hukuman denda maksimum RM3,000 dan penjara enam bulan, juga diambil kira.

Ketua Unit Pendakwaan Perlis Eddie Yeo Soon Chye memohon semakan ke atas kes itu mengikut Seksyen 323(1) Kanun Acara Jenayah yang membolehkan Mahkamah Tinggi memeriksa rekod hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret.

Laporan akhlak

Yeo selaku pendakwaraya dalam kes itu dalam hujahnya berkata kuasa penyemakan Mahkamah Tinggi membabitkan prosiding dan perkara-perkara jenayah di mahkamah rendah terkandung dalam Seksyen 31, Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91).

Selain itu, katanya laporan akhlak remaja berkenaan bertarikh 23 Mac yang dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menyebut bahawa keluarga remaja itu merayu hukuman ringan atas faktor kemiskinan dan remaja itu yang menyatakan berminat dengan PLKN perlu diambilkira.

"Pendakwa memohon Mahkamah Tinggi memerintahkan satu hukuman berdasarkan antara kepentingan keadilan dan kepentingan awam sebagai pencegahan kepada bakal pelatih PLKN dan pada masa yang sama terhadap remaja itu.

"Apa-apa hukuman yang bersesuaian, wajar dan adil yang diubah oleh Mahkamah Tinggi tidak akan melepaskan remaja itu daripada tanggungjawab menjalani PLKN mengikut peruntukan Seksyen 18(2) Akta Latihan Khidmat Negara 2003.

Mengikut seksyen itu, remaja terbabit perlu menjalani PLKN meskipun telah dijatuhi hukuman.

Ahmad Harizal yang kini menjadi pelatih Akademi Binaan Malaysia (ABM) di Jitra, Kedah hadir di mahkamah, bersama ibunya, Noraini Said, 50, serta wakil ABM di Perlis Ismail Hashim yang juga pegawai khas Menteri Besar Perlis.

Remaja itu memberitahu mahkamah beliau mengambil upah mengerjakan sawah dengan pendapatan kira-kira RM300 semusim.

Ketika ditanya Hakim mengapa dalam laporan akhlaknya beliau menyebut sebagai "penganggur" sedangkan dia mengerjakan sawah, Ahmad Harizal berkata ketika itu dia tidak bekerja di sawah.

Katanya dia hanya menjalankan kerja-kerja di sawah di kawasan Bintong, selepas itu.