Laporan Dr Haron Din tarik diri hanya satu andaian, kata Hadi
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan laporan media sebelum ini bahawa Datuk Dr Haron Din akan menarik diri daripada merebut jawatan timbalan presiden pada Muktamar PAS awal bulan depan, hanya satu andaian.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan laporan media sebelum ini bahawa Datuk Dr Haron Din akan menarik diri daripada merebut jawatan timbalan presiden pada Muktamar PAS awal bulan depan, hanya satu andaian.
Katanya, ini kerana sehingga kini Timbalan Mursyidul Am PAS dan Ketua Penerangan PAS Pusat itu belum membuat apa-apa keputusan muktamad mengenainya.
"Sehingga kini tiada keputusan rasmi (tarik diri) dan apa yang saya tahu perkara itu adalah satu andaian sahaja.
"Terserahlah kepada ahli parti untuk pilih siapa yang mereka hendakjadi pemimpin tetapi apa yang berlaku sebenarnya, PAS tidak ketandusan pemimpin," katanya kepada Bernama, ketika ditemui di kediamannya di Rusila hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti itu pada Muktamar PAS di Kelantan mulai 1 hingga 6 Jun ini.
Sehingga tarikh pencalonan tamat Ahad lalu, empat pemimpin PAS telah dicalonkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Mereka ialah Dr Haron; penyandang sekarang, Senator Hasan Shukri, Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Abdul Razak dan bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Sukar diramalkan
Ditanya kemungkinan Dr Haron akan menarik diri disebabkan masalah kesihatan seperti yang didakwa sebelum ini, Abdul Hadi berkata beliau tidak boleh membuat ramalan yang tepat mengenainya kerana perubahan mungkin boleh berlaku di saat-saat akhir.
Menurutnya, beliau bertemu dengan Dr Harun minggu lepas tetapi tiada perbincangan dibuat mengenai soal pertandingan atau pencalonannya sebagaitTimbalan presiden pada muktamar itu.
"Beliau (dalam pertemuan itu) tidak cakap apa-apa...jadi terserah kepada beliau untuk menilai dan begitu juga ahli PAS (untuk membuat pemilihan timbalan presiden).
"Malah, PAS kawasan Marang sendiri tidak membuat pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden kerana kita tidak mahu ia mempengaruhi mana-mana pihak untuk jawatan tersebut," katanya.
Pada pemilihan lepas, Dr Harun menarik diri pada saat-saat akhir dan jawatan timbalan presiden menyaksikan pertandingan antara Hassan Shukri dan Datuk Mustafa Ali dan dimenangi Hassan.
Hadi juga berkata jawatan timbalan presiden PAS tidak semestinya dipegang oleh ulama kerana perlembagaan parti tidak menyatakan sedemikian.
Bagaimanapun secara kebetulan, katanya, sejak PAS diterajui Allahyarham Yusuf Rawa, iaitu lebih 20 tahun lalu, jawatan tersebut disandang oleh ulama.
Iktiraf peranan wanita
"Tiada peruntukan dalam parti yang mensyaratkan itu (ulama pegang jawatan Timbalan Presiden), cuma kefahaman ahli dan ikut keperluan. Kalau kita lihat senario PAS, Timbalan Presiden tidak semestinya ulama," katanya.
Mengenai pencalonan wanita sebagai Naib Presiden PAS, beliau berkata senario itu menunjukkan bahawa parti itu mengamalkan demokrasi dan mengiktiraf peranan wanita seperti yang dilakukan sebelum ini.
Misalnya, beliau berkata Allahyarhamah Khadijah Sidek pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Johor pada 1959 dan dipilih sebagai Anggota Parlimen Dungun setahun kemudian.
"Jadi, perkara ini (mengiktiraf wanita) bukannya baru. Tetapi ada pihak yang sengaja hendak membesar-besarkan isu ini," katanya yang dijangka akan mengekalkan jawatan presiden parti itu berdasarkan pencalonan yang dibuat oleh banyak PAS kawasan di seluruh negara.
Sebelum ini kesemua 14 kawasan PAS di Kelantan akur dengan keputusan Badan Perhubungan PAS negeri itu untuk mencalonkan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Dr Mariah Mahmud untuk jawatan Naib Presiden.
Abdul Hadi turut menasihati calon-calon yang bertanding supaya tidak mengamalkan politik wang serta melobi secara keterlaluan pada pemilihan itu.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata antara usul utama yang akan dibahaskan pada muktamar itu ialah memperkasakan parti dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) yang didakwanya menggunakan Islam Hadhari untuk menipu rakyat.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.