Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib bidas perjuangan palsu BERSIH
Diterbitkan:  Nov 18, 2016 12:54 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Ketika BERSIH bersiap-sedia untuk perhimpunan kelima esok, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memilih membidas gabungan badan pemantau pilihan raya itu sebagai perjuangan "palsu".

Najib berkata, pemimpin pembangkang bermula perhimpunan kedua hinggalah kelima, membawa budaya rusuhan.

“Tidakkah sudah terang lagi bersuluh, bahawa perjuangan mereka adalah palsu dan perhimpunan ini hanyalah gerakan parti pembangkang yang berselindung sebagai NGO non-partisan untuk menentang kerajaan yang dipilih rakyat?

“Majoriti rakyat sudah lali akan taktik pembangkang ini. Mereka hanya mahukan khidmat bakti daripada kerajaan, dan itulah yang saya dan pasukan saya akan terus lakukan,” katanya dalam tulisan terbaru di blog.

Walaupun Najib tidak secara eksplisit menyebut BERSIH dalam blognya, rujukkan berhubung perhimpunan kedua dan kelima itu jelas merujuk kepada gabungan yang menuntut pilihan raya bersih dan adil berkenaan.

Najib mendakwa bahawa pada perhimpunan kedua menyaksikan penunjuk perasaan "mengganas" di Kuala Lumpur hingga ke tahap di mana sebuah kereta polis diterbalikkan.

“Perhimpunan ketiga pula, mereka mendengar arahan ketuanya merempuh halangan polis sehingga menimbulkan kekecohan.

“Pada edisi keempat pula, mereka bersorak untuk menjatuhkan parti pemerintah, tetapi memanggil diri mereka non-partisan.

“Akhir sekali pada perhimpunan kali kelima ini pula, mereka menjunjung pemimpin pembangkang yang sudah didakwa melakukan rasuah, padahal mereka kata mahu memerangi rasuah,” katanya.

Menurut Najib, parti pembangkang berhak untuk mengkritik melalui saluran yang betul, tetapi di Malaysia, keadaan adalah "berbeza".

“Parti pembangkang di negara ini mempergunakan sebuah NGO yang kononnya tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan memerangi rasuah, untuk menekan kerajaan melalui perhimpunan.

“Semua sedia maklum, NGO ini adalah boneka pembangkang. Daripada perhimpunan kedua hinggalah kelima, pemimpin pembangkang yang mengetuai rusuhan-rusuhan ini,” katanya.

BERSIH merancang untuk mengadakan perhimpunan berhampiran Dataran Merdeka esok. Ia menuntut pilihanraya yang bersih, kerajaan yang bersih, hak untuk perbezaan pendapat, pengukuhan Parlimen dan memperkasakan Sabah dan Sarawak.

Ketua Umno Sungai Besar bahagian Jamal Md Yunos, yang mengetuai gerakan Baju Merah berikrar untuk mengumpul di mana sahaja BERSIH berada pada hari yang sama. Najib juga tidak menyentuh mengenai Baju Merah dalam blog post beliau.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS