Paling Popular
Terkini

Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang mengetuai pergerakan baju merah, akhirnya ditangkap di awal pagi Sabtu.

Sumber yang rapat dengan Jamal memberitahu Malaysiakini dia ditahan polis pada kira-kira pukul 1.30 pagi.

Menurut Berita Harian, Jamal telah ditemui di sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Selangor.

Pada masa yang sama, aktivis Adam Adli Abd Halim turut ditahan oleh polis di KL Sentral tetapi kemudiannya dibebaskan.

Sebelum itu, polis membuat beberapa tangkapan menjelang perhimpunan BERSIH5 dan baju Merah.

Ia melibatkan pelbagai pihak, termasuk aktivis, ahli politik dan pelajar. Mereka ditahan menggunakan pelbagai peruntukan undang-undang. [Baca berita penuh]
 

Sebelum itu, selepas Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah dan kakitangan gabungan itu ditangkap, timbul persoalan di mana Jamal Yunos sedang berada.

Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu sepatutnya mengadakan sidang media di Masjid Negara pada jam 2.30 petang ini.

Namun beliau tidak muncul-muncul sehingga wartawan beredar pada jam 5 petang.

Beliau tidak hadir walaupun kira-kira 100 orang berbaju merah telah berkumpul di perkarangan Masjid Negara, di ibu negara selepas selesai solat Jumaat.

Sementara menunggu kehadiran Jamal, peserta Baju Merah bersama beberapa pimpinan gabungan NGO berkumpul terlebih dahulu untuk mendengar amanat pemimpin lain kira-kira jam 3.45 petang tadi.

Namun kira-kira 20 minit kemudian hujan lebat dan kesemua peserta lari berteduh di Masjid Negara sebelum peserta Baju Merah dilihat sedikit demi sedikit beransur meninggalkan masjid berkenaan selepas Asar.

 

Lihat Komen
ADS