Malaysia menghargai kerjasama baik kerajaan Arab Saudi dalam melancarkan pelbagai urusan berkaitan operasi haji bagi musim 1437 Hijrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerjasama itu, membantu dalam melicinkan urusan operasi haji selain jemaah dapat beribadat dengan selesa dan sempurna.

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada Duta Arab Saudi ke Malaysia Datuk Fahad Abdullah Al-Rashid dan kakitangan kedutaan Arab Saudi yang telah banyak membantu kita dalam pelbagai urusan berkaitan haji jemaah Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim 1437H di bangunan Tabung Haji (TH) di Kuala Lumpur, hari ini.

Jamil Khir seterusnya merakamkan penghargaan kepada petugas haji yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendaftaran Negara dalam menjalankan tugas membantu jemaah dengan penuh tanggungjawab.

Beliau berkata kecemerlangan pengurusan TH turut membuka mata ramai pihak selain mendapat perhatian negara luar.

"Senario ini memberi keyakinan kepada kita sebagai umat Islam di Malaysia bahawa pengurusan haji yang dijalankan secara muafakat oleh semua agensi kerajaan dan swasta pasti membuahkan kejayaan," katanya.

Katanya, pengurusan musim haji 1437H yang lalu adalah terbaik kerana berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar atau buruk yang tidak diingini.

Pada majlis itu, sebanyak 31 jabatan dan agensi kerajaan serta swasta termasuk wakil kerajaan, Kedutaan Arab Saudi dan pengamal media diberikan sijil penghargaan atas kerjasama dan sokongan terhadap TH.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah antara organisasi media yang membuat liputan musim haji saban tahun.

- Bernama