Usul pemangku no 2 Umno boleh dibawa dalam AGM
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perlembagaan parti boleh dipinda semasa perhimpunan agung Umno akan datang bagi membolehkan jawatan pemangku timbalan presiden dimaktubkan.
Menurut Shahidan, perkara itu boleh dibawa dalam perhimpunan agung Umno sekiranya terdapat individu yang membawa usul tergempar.
"Saya sokong dan wajar dibuat pada perhimpunan agung kali ini dalam mesyuarat khas supaya pindaan perlembagaan parti dibuat supaya wujud jawatan timbalan pemangku presiden.
"Ia boleh dibuat dengan notis tertentu dalam perhimpunan agung Umno. Ia boleh dibuat tak ada masalah, boleh bagi notis untuk adakan mesyuarat tergempar.
"Sesiapa (pun) boleh bawa usul tergempar," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Anggota parlimen Arau itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung pindaan perlembagaan bagi membolehkan jawatan pemangku timbalan presiden dimaktubkan dalam klausa tertentu.
Timbalan perdana menteri berkata rasional pindaan itu adalah untuk membolehkan penyelarasan tugas-tugas timbalan presiden dilakukan dengan lebih berkesan oleh pemangkunya.
Ahmad Zahid kini menjalankan tugas timbalan presiden Umno selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan tersebut.

