Tindakan disiplin boleh diambil terhadap ahli Parti Keadilan Nasional yang melobi secara haram menjelang mesyuarat agung khas Ahad lepas bagi menentang penggabungan parti itu dengan Parti Rakyat Malaysia.

Setiausaha Agung Keadilan Anuar Tahir memberitahu malaysiakini , beliau mendengar khabar angin berhubung hal itu tetapi urusetia parti belum menerima sebarang laporan.

"Tindakan itu (melobi haram) tidak beretika dan jika kami menerima laporan mengenainya, mereka akan dihadapkan ke jawatankuasa bebas tatatertib," katanya.

Anuar berkata jawatankuasa itu diketuai bekas profesor madya daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Mokhtar Shafie, yang juga adalah ahli Keadilan.

Tambahnya, ahli jawatankuasa itu dianggotai ahli akademik, ulama dan ahli yang tidak memegang sebarang jawatan dalam parti dan dianggap pihak yang tidak berkepentingan.

Malaysiakini pernah melaporkan terdapat gerakan melobi yang hebat di kalangan ahli parti itu untuk menentang penggabungan dua parti pembangkang itu.

Sumber-sumber parti itu mendedahkan, pemimpin kumpulan berkenaan khuatir kedudukan mereka hilang dan menjadikan alasan PRM sebuah parti sosialis bagi menggagalkan penggabungan itu.

Ahad lalu, perwakilan Keadilan mengundi untuk menyokong penggabungan dalam mesyuarat agung khas parti itu, tetapi gagal mendapat undi majoriti dua pertiga untuk mengubah perlembagaan parti.

'Mesti hormati keputusan'

Anuar menafikan beliau tidak berpuas hati dengan keputusan mesyuarat agung itu.

"Saya berpuashati dengan keputusan itu walau saya sedar bahawa ada usaha yang cuba merosakkan imej dan menimbulkan masalah antara dua parti ini," katanya.

"Perbincangan pada hari Ahad lalu berjalan dengan lancar dan secara ikhlas. Tidak ada apa-apa yang buruk berlaku. Juga tidak ada kritikan yang ditujukan terhadap PRM."

Beliau mengesa ahli-ahli Keadilan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh perwakilan.

"Kita mesti hormati keputusan itu seperti disarankan oleh Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya lagi.

Dalam mesyuarat itu, usul pertama - menerima percantuman Keadilan dengan PRM - 172 orang menyokong dan 98 membantah atau majoriti 63.7 peratus.

Usul kedua - menerima pindaan-pindaan perlembagaan akibat percantuman tersebut - mendapat sokongan 168 undi, bantahan 101 dan selebihnya rosak (62.6 peratus).

Sementara usul ketiga - memberikan mandat kepada Majlis Pimpinan Tertinggi melaksanakan semua langkah ke arag percantuman - mendapat 169 undi sokongan dan 101 undi bantahan (62.2 peratus).

Menurut Anuar, beliau akan memaklumkan PRM secara rasmi mengenai keputusan Keadilan itu tidak lama lagi. PRM akan mengadakan mesyuarat agung pada 15 Julai depan.