Polis Sarawak akan menghantar cadangan kepada kerajaan negeri supaya menyekat kemasukan wanita warga China ke negeri itu secara perseorangan bagi menangani masalah sosial yang melibatkan mereka.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak SAC 1 Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata beliau sedang menulis surat berhubung cadangan itu kepada kerajaan negeri.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata, polis berharap kerajaan negeri dapat mengambil tindakan segera serta mengerakkan agensi kerajaan yang berkenaan bagi menangani masalah itu.

"Yang menyukarkan kita (polis) ialah setiap kali kita buat operasi ke kelab-kelab malam, tempat hiburan... apabila dibawa dan diperiksa di balai, sebahagiannya menggunakan pasport yang telah tamat tempoh.

"Pemilik tempat hiburan tidak mengaku mereka bekerja di situ, dan untuk mendakwa mereka atas kesalahan jenayah lain, kita tidak mempunyai bukti kukuh," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan 20 basikal di Kuching hari ini.

Banteras kegiatan jenayah

Basikal sumbangan Persatuan Heng Ann bernilai RM25,000 itu diterimanya bagi pihak Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak yang diserahkan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Datuk William Mawan.

Abang Wahap berkata masalah sosial membabitkan wanita warga China tidak boleh dibiarkan kerana ia dikhuatiri menjadi masalah sosial yang akan membenihkan jenayah.

Polis menganggarkan sekurang-kurangnya 40 wanita China memasuki Sarawak setiap hari dan sebahagian daripada mereka ditahan kerana terbabit dalam pelacuran serta maksiat.

Mengenai sumbangan basikal itu, Abang Wahap berkata ia akan digunakan di tiga balai iaitu di Balai Polis Gita, Padungan dan MJC di Batu Kawa.

Sambil menyatakan rondaan berbasikal itu akan hanya dilakukan pada waktu siang, Abang Wahap berharap ia dapat meningkatkan kepolisan kemasyarakatan.

"Dengan rondaan berbasikal, kita harap kehadiran polis akan lebih dirasai oleh masyarakat," katanya.