TLDM pertingkat kekuatan kawal perairan negara
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang menaikkan tahap kemampuannya untuk mengawal perairan negara termasuk menambah bilangan friget, membeli helikopter penggempur Super Lynx, serta kapal selam.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang menaikkan tahap kemampuannya untuk mengawal perairan negara termasuk menambah bilangan friget, membeli helikopter penggempur Super Lynx, serta kapal selam.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin berkata, langkah tersebut bertujuan membolehkan TLDM menjaga perairan negara tanpa bantuan pihak luar.
Menurutnya, langkah itu juga menunjukkan kesungguhan negara membanteras jenayah seperti lanun di perairan negara.
"Kita pernah mendapat tawaran daripada Amerika Syarikat tentang pengawalan Selat Melaka tetapi kita mempunyai kemampuan untuk mengawasinya," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Menurut laporan Bernama, sebelum itu, beliau menerima kunjungan Pegawai Pemerintah Tentera Laut New Zealand Laksamana Muda David Ian Ledson di Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini. Ledson adalah dalam rangka lawatan selama tiga hari ke Malaysia.
Zainal Abidin berkata TLDM juga telah menjalin kerjasama yang rapat dengan agensi-agensi lain seperti Polis Marin, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja dalam menguatkuasakan undang-undang di perairan negara.

