Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Seminar Anwar: Wakil rakyat BN hentam JAIS
Diterbitkan:  Nov 23, 2016 1:38 PM
Dikemaskini: 5:42 AM

Anggota parlimen Sungai Besar melahirkan kekesalannya terhadap penglibatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam seminar pemikiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan diadakan di Shah Alam.

Budiman Mohd Zohdi mendakwa jabatan itu “diperalat oleh kerajaan negeri yang dipimpin PKR untuk kepentingan politik tertentu”.

“Sebagai sebuah jabatan yang bertanggungjawab memastikan pembangunan Islam di Selangor, JAIS tidak seharusnya terlibat apatah lagi mengeluarkan arahan sedemikian kepada guru-guru agama di negeri ini untuk menghadiri seminar tersebut.

“Ia seolah-olah satu cubaan untuk mengangkat darjat Anwar Ibrahim sebagai tokoh pemikir yang kononnya boleh mencorakkan pembangunan pendidikan Islam kepada golongan pendidik dan anak-anak Selangor,” katanya.

Budiman berkata, sepatutnya JAIS lebih peka dan mengambil kira latar belakang Anwar yang dipenjara setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantunya.

“...dan ini sahaja sudah cukup dijadikan pertimbangan mengenai masalah moralnya sebelum ini yang tidak sejajar dengan ajaran Islam,” katanya.

JAIS bagaimanapun meminta perkara itu “tidak diputar belit” tanpa usul periksa memandangkan ia sebenarnya dianjurkan kerajaan negeri bawah seliaan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Walaupun mengakui menerima arahan supaya menjemput guru-guru bawah seliaannya, pengarahnya JAIS Datuk Haris Kasim berkata, pihaknya tidak mewajibkan mereka hadir, lapor Utusan Online.

Berdasarkan surat 21 November lalu, JAIS mengundang guru sekolah rendah agama (SRA) serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain di daerah Petaling dan Klang ke seminar yang bakal diadakan di Bangunan Sultan Abdul Aziz, Isnin ini.

 

Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, Budiman juga mengaitkan pendirian Anwar terhadap amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Kesemua bentuk pemikiran dan amalan sedemikian jelas difatwakan sesat dan haram di Selangor,” katanya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang.

Beliau juga berkata penganjuran seminar itu dilihat seolah-olah cubaan mengangkat kembali imej Anwar yang didakwa semakin merudum.

Ini, katanya lagi, susulan peranan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat seperti mengetuai pembangkang.

“Saya ingin mengingatkan kerajaan PKR Selangor supaya jangan mempergunakan JAIS dengan mengarahkan mana-mana kakitangannya termasuk guru agama menyertai program yang berbentuk politik di negeri ini.

“Selain itu saya juga memohon Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) supaya campur tangan dalam perkara ini demi kepentingan masa depan anak-anak Selangor,” katanya.

Lihat Komen
ADS