LHDN buru pembayar cukai tertunggak mulai hari ini
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini melancarkan operasi serahan saman terhadap individu, syarikat perniagaan dan syarikat bertaraf multinasional yang gagal menjelaskan cukai tertunggak berjumlah RM307.9 juta.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini melancarkan operasi serahan saman terhadap individu, syarikat perniagaan dan syarikat bertaraf multinasional yang gagal menjelaskan cukai tertunggak berjumlah RM307.9 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Zainol Abidin Abd Rashid berkata operasi selama tiga hari ini, 330 pegawai akan menyerahkan saman, surat tuntutan dan notis tuntutan, termasuk 130 pegawai khusus untuk kawasan Lembah Klang.
"Tujuan operasi ini ialah untuk memungut cukai tertunggak melalui penguatkuasaan undang-undang setelah tindakan di peringkat pemungutan tidak berjaya," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Zainol berkata, tindakan itu selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan Tahun 1967 yang membolehkan pihak LHDN mendapat cukai tertunggak melalui tindakan sivil mahkamah.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, ia juga untuk menyedarkan pembayar cukai yang ingkar bahawa LHDN tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan lebih serius.
Tindakan itu terbukti berkesan. Kira-kira 45 minit selepas Zainol Abidin melancarkan operasi tersebut, seorang pegawai di ibu pejabat LHDN menerima panggilan seorang individu yang menyatakan dia akan datang menjelaskan cukai tertunggaknya.
Zainol berkata, dalam operasi kali ini, 834 saman akan diserahkan, membabitkan cukai tertunggak berjumlah RM101.7 juta selepas pelbagai usaha sebelum ini gagal, termasuk menghantar surat peringatan serta lawatan ke premis perniagaan.
Manakala 165 surat tuntutan dikeluarkan membabitkan cukai tertunggak RM71.3 juta dan RM134.6 juta lagi membabitkan penghantaran tuntutan susulan perintah mahkamah yang mengarahkan pembayar cukai membuat bayaran, termasuk penalti dan faedah lapan peratus sehingga cukai yang tertunggak dijelaskan sepenuhnya.
Membabitkan 4,925 saman
"Sekiranya cukai yang dituntut gagal dijelaskan setelah surat tuntutan ini diserah, satu notis tuntutan akan dikeluarkan bagi memberi masa tambahan selama 21 hari kepada mereka untuk menjelaskan cukai tertunggak, penalti dan faedah.
"Jika masih gagal, kami akan memfailkan petisyen penggulungan syarikat," katanya.
Sepanjang tahun lalu, katanya, LHDN menfailkan 4,925 saman terhadap orang perseorangan dan syarikat membabitkan cukai tertunggak RM739.4 juta. Daripada jumlah itu, 1,810 penghakiman telah diperolehi membabitkan RM170.5 juta.
Dalam tempoh yang sama, 325 pembayar cukai individu telah menerima perintah kebankrapan (muflis) dan 185 syarikat telah dijatuhkan perintah penggulungan.
Zainol Abidin meminta orang ramai agar berhati-hati dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada operasi itu dengan menyamar sebagai pegawai LHDN.
"Selain menyerahkan saman, surat tuntutan, dan notis tuntutan, pegawai terbabit tidak akan meminta atau mengutip apa-apa bayaran. Segala urusan yang berkaitan, terutamanya urusan bayaran hendaklah dirujuk atau datang terus ke pejabat LHDN," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.