Pendirian berkaitan usul menambah bidang kuasa Akta Mahkamah Syariah hanya boleh ditentukan setelah penjelasan terperinci pengusulnya dan jaminan perdana menteri bahawa hak-hak bawah perlembagaan akan dilindungi.

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail berkata mana-mana pindaan undang-undang sedia ada mesti memenuhi prinsip murni keadilan dan kesaksamaan Islam serta tidak bercanggah dengan teks dan semangat perlembagaan dan Perjanjian Malaysia.

“Justeru, PKR menggesa kerajaan pemerintah dan YB Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) untuk memandang serius pendirian di atas,” katanya yang juga ketua pembangkang.

PKR juga mendesak untuk jawatankuasa khas parlimen terdiri daripada anggota parlimen Islam dan bukan Islam ditubuhkan segera untuk “meleraikan kemelut” dan mengesyorkan penyelesaian terbaik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam memberitahu bahawa usul berkaitan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 akan dibentangkan sama ada pada Rabu (hari ini) atau Khamis.

Sesi parlimen tahun ini akan berakhir pada Khamis ini.

Pada hari pertama sidang parlimen Oktober lalu, usul persendirian yang dibawa Hadi yang juga presiden PAS berada pada giliran nombor empat.

Ia diturunkan giliran dua kali apabila lebih banyak usul kerajaan didahulukan berbanding usul persendirian.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Azizah berkata PKR mengikuti dengan teliti kemungkinan usul itu akan dibentangkan dalam tempoh segera.

Beliau menegaskan kembali pendirian PKR yang dikeluarkan pada 20 Oktober lalu, antaranya berkaitan keperluan mengambil kira matlamat murni Syariah (maqasid syariah) supaya setiap tindakan menjurus kepada keamanan dan keadilan.

Azizah juga berkata pemerkasaan perundangan Islam perlu dilihat dengan lebih menyeluruh dan tidak semata-mata kepada perundangan atau hukum.

Beliau juga berkata kecelaruan kefahaman masyarakat dalam isu itu telah timbul akibat tiada maklumat, perbincangan dan muafakat dengan badan-badan Islam dan ulama, termasuk dengan masyarakat bukan Islam.

“Sikap sengaja membiarkan isu RUU 355 berlarutan, terapung di parlimen tanpa sebarang usaha memberikan penjelasan atau menganjurkan perbincangan dengan wakil parti politik dan masyarakat amat mencurigakan malah lebih buruk lagi, memberi imej negatif dan tafsiran mengelirukan terhadap Islam,” katanya.