ADUN Umno 'boikot' exco di DUN Pulau Pinang
Beberapa anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno memulaukan exco kerajaan Dr Afif Bahardin dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.
Mereka keluar dewan selepas Afif (PKR-Seberang Jaya) menggulung perbahasannya berkaitan belanjawan negeri 2017 yang dibentangkan Ketua Menteri Lim Guan Eng pada 15 November lalu.
Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) dan Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mengakui tindakan itu tetapi berkata ia dibuat atas kapasiti individu.
Farid berkata keputusan itu dibuat susulan tindakan Afif membidas Roslan Saidin (BN-Pinang Tunggal) ketika mendakwa ayah exco itu anggota Umno.
Afif menjawab bapa seorang penjawat awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tetapi bukan anggota Umno.
Ia berlaku ketika Afif membahaskan usul mengutuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 dan mendesak pembebasan pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.
Berlaku perang mulut yang kemudian menyaksikan Roslan diperintah keluar dewan oleh Speaker Law Choo Kiang (PKR-Bukit Tambun).
Di luar dewan, Farid memberitahu media bahawa Afif “biadap” dan tidak hormat pada orang lain serta menyakitkan hati orang lain.
Afif bagaimanapun berkata beliau tidak kisah berkaitan perkara itu.
“Umno ini bertanya soalan sekadar ingin bertanya,” katanya.
[Baca berita asal]

