Pensyarah terkemuka UM letak jawatan dengan hati yang berat
Terjemahan Seorang ahli akademik terkemuka Prof Madya Dr Edmund Terence Gomez, yang meletakkan jawatan di Universiti Malaya dua minggu lalu, berkata beliau akan meninggalkan universiti itu tempat beliau bertugas selama hampir satu dekad dengan "hati yang berat".
Terjemahan Seorang ahli akademik terkemuka Prof Madya Dr Edmund Terence Gomez, yang meletakkan jawatan di Universiti Malaya dua minggu lalu, berkata beliau akan meninggalkan universiti itu tempat beliau bertugas selama hampir satu dekad dengan "hati yang berat".
Katanya, beliau kecewa kerana UM menolak permohonannya bercuti selama dua tahun untuk bertugas di Institut Penyelidikan Pembangunan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang beribupejabat di Geneva bagi menjalankan penyelidikan perintis peringkat global mengenai konflik antara kaum.
Berikutan itu, Gomez tiada pilihan kecuali menyerahkan surat perletakan jawatannya yang bertarikh 8 Mei lalu dan berkuatkuasa pada 7 Ogos depan.
Selepas ditolak baki cutinya, beliau akan meninggalkan UM pada 14 Jun ini dan berlepas ke Geneva untuk bertugas di institut tersebut.
Gomez yang telah menulis dan menyunting banyak buku yang mendapat sambutan ramai, berkata pihak universiti tidak menyatakan sebarang sebab mengapa ia menolak permohonannya itu.
Berikutan itu, katanya, prospek untuknya kembali bertugas di UM adalah tipis sekali kerana beliau telahpun mengemukakan surat perletakan jawatan.
Menurut satu laporan dalam akhbar the Star minggu lalu, pihak universiti berkata permohonan Gomez ditolak kerana ia memerlukan lagi perkhidmatan pensyarah tersebut.
'Hati saya masih di sini'
Mengulas lanjut mengenainya, Gomez berkata walaupun pihak universiti mendakwa khidmatnya masih diperlukan, tetapi tidak seorangpun dari bahagian pentadbiran yang menghubunginya selepas beliau menghantar surat perletakan jawatan.
Menurutnya, apabila pulang ke Malaysia nanti, beliau akan meneruskan penyelidikan mengenai rasuah, hubungan antara kaum dan isu-isu pengswastaan apabila tamat kontraknya di Geneva.
"Hati saya masih di sini. Saya mahu ditempatkan di sini untuk menjalankan penyelidikan mengenai Malaysia, lebih baik berada di sini di mana saya memahami dengan lebih dekat isu-isu berkenaan.
"Tetapi saya tidak pasti kerana tidak siapa yang tahu apa yang akan berlaku di masa depan. Ia juga bergantung sama ada saya akan mendapat pekerjaan di Malaysia," tambahnya.
Antara buku tulisannya ialah 'Money Politics in Barisan Nasional', "Political Business: Corporate involvement of Malaysian political parties', dan 'Malaysia's Political Economy: Politics, Patronage and Profits'.
Bagaimanapun, Gomez tidak menolak kemungkinan akan kembali berkhidmat di UM jika diberi peluang berbuat demikian.
"Saya tetap seorang sarjana dan ahli akademik. Dorongan utama saya ialah untuk mendidik dan membuat penyelidikan. Mungkin ada perkara yang saya tidak sehaluan dengan pihak pengurusan UM dan saya kesal mengenainya. Tetap apa yang lebih penting bagi saya ialah mendidik generasi muda.
"Saya percaya, saya telah membantu pelajar untuk berfikir secara berbeza dan kritikal," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.