Sebanyak 35 kantin sekolah menengah dan rendah, termasuk dua sekolah berasrama, di enam daerah di Kelantan diarah tutup kerana gagal mematuhi pelbagai aspek kebersihan sejak Ops Bersepadu Sekolah Sihat dilancarkan 15 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata pengusaha kantin sebuah daripada sekolah berasrama itu telah diarah meningkatkan kebersihan dalam tempoh 24 jam.

"Sekolah itu adalah sekolah berasrama elit yang tahap kebersihannya hanya mencapai 31 peratus sahaja," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama dengan Jabatan Pelajaran Kelantan di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.

Ahmad Razin berkata tempoh 24 jam itu diberi kerana penghuni asrama sekolah terbabit sedang menghadapi peperiksaan.

Katanya 34 buah kantin lagi telah diarah ditutup dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dan jika masih gagal meningkatkan tahap kebersihan, pengusahanya boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut laporan Bernama , selain itu, katanya 75 sekolah rendah dan menengah lagi telah diperiksa mengikut Akta Pemusnahan Serangga dan Pembawa Penyakit 1975 bagi memastikan kawasan sekolah bebas daripada pembiakan aedes.

"Daripada jumlah itu, 25 buah sekolah diberi amaran mengikut Seksyen 8 akta terbabit kerana persekitaran yang kotor dan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Demam kepialu

Tahun ini, jabatan berkenaan tidak lagi berlembut dengan mana-mana pengurusan sekolah dan pengusaha kantin kerana kesihatan pelajar mesti diutamakan.

Dr Ahmad Razin juga menegur pengusaha kantin yang masih menggunakan ais bongkah dan bukannya ais kiub seperti yang diarahkan oleh jabatan ketika membendung demam kepialu ketika ini.

"Ada pengusaha yang turut mencampurkan beberapa bahan makanan lain bersama dengan bongkah-bongkah ais beku di dalam peti sejuk dan ia sesuatu yang tidak patut diamalkan," katanya.

Ahmad Razin juga berkata pelajar yang menghidap demam kepialu tahun lepas berjumlah 63 orang, keracunan makanan (748 orang) dan hepatitis A (15 orang).

Sementara itu, demam kepialu di Kelantan terus terkawal dengan hanya 77 orang lagi masih dirawat di beberapa hospital dengan 30 daripadanya disahkan menghidap demam kepialu.

"Semalam sahaja sebanyak 14 kes dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang menerima rawatan seramai 1,427 orang dengan 667 daripada mereka sah menghidap kepialu," katanya.