200 berkumpul di parlimen menjelang RUU355 hari ini
Anggota parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Aziz berharap usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 berjaya dibentangkan di parlimen hari ini.
“Saya harap berjaya sebagaimana timbalan perdana menteri sebut saya harap berjaya,” katanya kepada pemberita di luar pagar Parlimen.
Setibanya Nik Abduh di Jalan Parlimen hari ini beliau disambut kira-kira 200 Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) yang menyokong usul itu.
Ketua Pemuda PAS itu turut sempat menangkap gambar dengan penyokong RUU itu sebelum memasuki parlimen.
“Saya ada mesyuarat dengan Tok Guru (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sekarang, nanti saya buat sidang media (mengenai RUU),” katanya sebelum menaiki kereta.
Sementara itu, kumpulan penyokong itu membawa plakad bertulis “Kami sokong pindaan akta RUU355” dan “MP Muslim wajib sokong RUU355”.
Mereka turut bersorak “sokong RUU” apabila melihat kenderaan MP memasuki pagar parlimen.

