Ringgit terus merudum, RM4.45 berbanding AS$1
Sentimen lemah terhadap pasaran membangun yang digembur spekulator berhubung peningkatan kadar faedah Amerika Syarikat bulan depan, menolak turun ringgit berbanding dolar pada awal dagangan hari ini.
Pada jam 9:05 pagi, unit tempatan itu diniagakan pada 4,4500 / 4600 berbanding dolar AS berbanding 4,4400 / 4450 semalam.
Pada jam 10 pagi tadi, Bloomberg melaporkan bahawa ringgit mencapai paras 4,4675 berbanding AS$1.
Menurut Bernama, sungguhpun harga semalaman minyak mentah lebih tinggi, yang memberikan sedikit sokongan kepada ringgit, pelabur meningkatkan kedudukan terhadap dolar AS.
Dolar AS menokok ke paras tertinggi 14 tahun berbanding mata wang utama susulan data ekonomi kukuh menunjukkan ekonomi AS berada di landasan bagi pertumbuhan kukuh.
Bank Negara Malaysia semalam mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.0 peratus dan juga mengekalkan nisbah keperluan rizab statutori pada 3.5 peratus.
Bank pusat itu berkata, ia akan terus menyediakan kecairan bagi memastikan kestabilan pasaran tukaran asing domestik.
Ringgit menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.1013/1086 daripada 3.1136/1175, mengukuh berbanding yen kepada 3.9534/9655 daripada 3.9993/4.0049, dan naik berbanding euro kepada 4.6872/6995 daripada 4.7117/7175.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding pound British kepada 5.5327/5473 daripada 5.4945/5011.
Sementara itu, kelemahan ringgit ketika ini adalah untuk jangka pendek, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Beliau berkata, unit tempatan akan mengukuh dalam jangka panjang dengan kemasukan pelaburan langsung asing serta beberapa projek kerajaan yang akan dilaksana tahun depan.
"Ekonomi Malaysia adalah kukuh dan harga minyak stabil kerana tidak jatuh di bawah US$40 (setong). Ekonomi global lembap sedikit tahun ini, tetapi diharapkan ia akan bertambah baik.
"Oleh itu saya tidak nampak kenapa perlu bimbang mengenai kelemahan ringgit. Kita sedang berkembang, tetapi disebabkan sesetengah pihak memperkata perkara negatif, ia menjejaskan persepsi mengenai negara ini," katanya kepada pemberita pada majlis penutup Cabaran Kod Nasional (II) 2016, hari ini.
Sentimen lemah terhadap mata wang sedang muncul, berikutan spekulasi kenaikan kadar faedah AS pada Disember telah menyebabkan ringgit menyusut berbanding dolar US.
Hari ini ringgit dibuka pada 4.4500/4600 berbanding dolar US daripada 4.4400/4450 pada Rabu. Ia ditutup tinggi sedikit pada 4.4450/4550.

