DUN SABAH Kerajaan negeri akan mengemukakan syor kepada kerajaan pusat melalui Jawatankuasa Pengurusan Induk Warga Asing untuk memindahkan skim-skim penempatan pelarian di Sabah ke lokasi lain yang lebih sesuai, kata Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Teo Chee Kang.

Katanya pada masa ini terdapat lima skim penempatan pelarian di Sabah iaitu di Telipok, Kinarut, Kampung Bahagia Sandakan, Kampung Selamat Semporna dan Kampung Hidayat Tawau.

"Kelima-lima skim penempatan pelarian itu kini berada di kawasan berhampiran bandar atau di kawasan pembangunan perindustrian. Oleh itu kerajaan akan mengambil tindakan berhubung kedudukan skim-skim penempatan pelarian itu agar kedudukannya lebih sesuai," katanya dalam ucapan penggulungan Jabatan Ketua Menteri Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Teo berkata kerajaan negeri juga akan meminta kerajaan pusat supaya mengadakan kerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan kerajaan Filipina agar mereka turut membantu dalam melaksanakan program penempatan semula orang-orang pelarian di Sabah.

Mengenai persetujuan kerajaan Filipina menerima balik rakyatnya yang datang ke Sabah secara haram, beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan komitmen dan kerjasama kerajaan Filipina dalam hal pengurusan warga asing rakyat negara itu di Sabah.

"Oleh itu, kerajaan akan meneruskan usahasama dengan pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur bagi mendapatkan komitmen untuk mengeluarkan dokumen perjalanan agar proses penghantaran balik pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat disegerakan.

"Kerjasama berterusan dengan kerajaan Filipina dapat membantu menangani isu pengurusan PATI di Sabah dengan lebih berkesan dan efisien," katanya.

Dalam perkembangan lain, Teo berkata dalam usaha memantau kegiatan kumpulan militan Daesh di sekolah agama di negeri ini, kerjaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) mempunyai Pelan Tindakan Penguat Kuasa Agama dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sehingga kini, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Negeri telah mengadakan sebanyak lapan sesi seminar Cegah Jenayah Syariah di seluruh Sabah dengan kerjasama PDRM bagi menjelaskan kepada pelajar sekolah mengenai bahayanya kumpulan militan Daesh.

"Selain itu, JHEAINS juga sedang mengubal satu tajuk dalam mata pelajaran Sekolah Agama Negeri mengenai wasatiyyah dan kefahaman sebenar mengenai jihad yang luas," katanya.

- Bernama