Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjara dua hari kerana tunjuk kemaluan
Diterbitkan:  Nov 24, 2016 3:52 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

MAHKAMAH Seorang pemandu teksi dihukum penjara dua hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang kerana menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita di dalam lif kondominium, Jumaat lepas.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhi hukuman itu terhadap P Mogan, 38, selepas dia mengaku bersalah mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 33 tahun di dalam lif Kondominium Magnaville di Selayang, dekat sini, pada jam 4.20 petang 18 November lepas.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda itu.

Mogan didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda minimum dengan alasan dia penanggung utama keluarga dan menyara dua anak berusia 12 dan sembilan tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, K Vasugi memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Sementara itu, seorang pekerja hotel didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dan menunjukkan kemaluan kepada seorang penuntut wanita universiti awam.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhi hukuman itu terhadap Shamsudin Kadar, 27, kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 18 tahun lima bulan dengan niat mencabul kehormatannya.

Tertuduh juga didakwa hendak mengaibkan kehormatan mangsa sama ada dengan cara menunjukkan kemaluannya dalam keadaan zip seluar terbuka sehingga mengganggu kesantunan mangsa.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsudin didenda RM3,500 atau 12 bulan penjara dan bagi pertuduhan kedua dia didenda RM2,500 atau lapan bulan penjara.

Lelaki itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bahagian tangga di tepi Jalan Cahaya berhampiran Stesen LRT Cahaya, Taman Cahaya, pada jam 2.30 petang 30 April lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 509 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berjalan ke Stesen LRT Cahaya telah didatangi tertuduh yang secara tiba-tiba memegang punggung mangsa.

Mangsa yang terkejut telah menoleh ke belakang dan melihat tertuduh yang tidak dikenalinya itu sedang menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam S Purnima, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan itu merupakan kesalahan pertamanya selain dia merupakan penanggung utama keluarganya.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira tindakan tertuduh menyebabkan trauma kepada mangsa yang masih muda selain memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS