Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mempersoalkan isu penahanan Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah yang sengaja dipolitikkan sehingga menggambarkan kerajaan sebagai zalim.

Ekoran penahanan Maria itu, pihak polis pula didakwa sebagai mengikut telunjuk parti pemerintah sehingga mewujudkan persespi negatif seolah-olah seluruh sistem perundangan dan keadilan negara ini telah runtuh, katanya.

Menurut beliau, polis mempunyai asas yang kukuh untuk menahan Maria dan pihak berkuasa menjalankan tugas secara profesional dan berasaskan kepada soal kepentingan negara.

"Mengapa isu penahanan Maria diperbesarkan, dipolitikkan secara sewenang-wenangnya yang seolah-olah memberi gambaran kerajaan zalim manakala polis pula didakwa sebagai mengikut telunjuk parti pemerintah.

"Persespi negatif dan tuduhan sedemikian tentulah tidak adil hanya disebabkan seorang yang bernama Maria yang ditahan, seolah-olah seluruh sistem perundangan dan keadilan negara ini telah runtuh. Ini tanggapan liar dan berniat jahat.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada penganjur perhimpunan untuk mematuhi peraturan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 atau berhadapan tindakan pihaknya.

"Ia tidak boleh berterusan...Mulai sekarang, kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka, termasuk yang membakar lilin di Dataran Merdeka.

"Jangan fikir anda berkumpul untuk membakar lilin jadi tidak perlu memberi notis," kata Khalid merujuk kepada himpunan nyalaan lilin diadakan di Dataran Merdeka untuk mendesak pembebasan Maria Chin.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, apakah Maria tidak boleh 'disentuh' sehingga mendorong kumpulan pro-pembangkang sanggup mengadakan perhimpunan.

"Dia (Maria) bukannya hero, bukan wirawati yang perlu seluruh orang menjadi kelam-kabut. kalau dia berani buat, beranilah tanggung akibatnya.

"Maria adalah manusia biasa dan seperti mana-mana pemimpin tidak mempunyai kekebalan dari segi undang-undang," tambah beliau.

Maria di tahan di bawah SOSMA Jumaat lalu, sehari sebelum Perhimpunan Bersih5 dan juga mengikut Seksyen 124C Kanun Kesesaksaan atas dakwaan terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memudharatkan demokrasi berparlimen.

Ini berikutan pendedahan bahawa gabungan reformasi pilihan raya itu dikatakan menerima dana daripada Open Sosiety Foundations, yang dikaitkan dengan jutawan George Soros.