Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki ditahan disyaki buat kenyataan hina kesultanan Johor
Diterbitkan:  Nov 24, 2016 4:18 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Seorang lelaki ditahan polis di Bayan Baru, Pulau Pinang malam tadi, selepas disyaki membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui sebuah laman web baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berumur 34 tahun itu kini ditahan di Balai Polis Bayan Baru untuk siasatan.

Menurut beliau, tangkapan itu adalah susulan laporan polis berkaitan satu kenyataan jelik yang dimuat naik ke laman web iaitu forum.lowyat.net terhadap Sultan Johor dan anakanda baginda Tunku Ismail yang mana kenyataan itu boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan negara.

"Kita juga turut merampas sekeping simkad dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek bagi membuat kenyataan jelik itu," katanya menerusi satu kenyataan di Johor Bahru hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 dan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Najmuddin juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan palsu atau untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.

"Sebagai sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa, sifat hormat menghormati dan sifat kesopanan dan kesusilaan antara satu sama lain adalah penting dalam menjamin keharmonian sesebuah negara.

"Saya juga mengingatkan bahawa polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS