Ekonomi S'pura berkembang 1.1% pada suku ketiga
Ekonomi Singapura berkembang 1.1 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku ketiga, lebih rendah berbanding 2.0 peratus pada suku sebelumnya, kata Kementerian Perdagangan dan Industri republik itu hari ini.
Dalam satu kenyataan, ia berkata, ekonomi dijangka tumbuh 1.0 hingga 1.5 peratus tahun ini dan 1.0 hingga 3.0 peratus pada 2017.
Pada asas tahunan suku ke suku pada pelarasan bermusim, ekonomi menguncup 2.0 peratus, berbanding pertumbuhan 0.1 peratus pada suku kedua.
Sektor pembuatan mengembang 1.3 peratus tahun ke tahun, berbanding 1.4 peratus pada suku sebelumnya.
Kementerian itu berkata, pertumbuhan disokong oleh kelompok elektronik dan kejuruteraan ketepatan, yang mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan luaran untuk semikonduktor dan kelengkapan semikonduktor.
Sektor pembinaan tumbuh 1.6 peratus tahun ke tahun, merosot daripada 2.0 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan dirangsang oleh peningkatan kerja-kerja pembinaan sektor awam seperti kerja-kerja kejuruteraan awam.
Sektor perdagangan borong dan runcit susut 1.5 peratus tahun ke tahun berbanding pertumbuhan 0.9 peratus pada suku kedua.
Pertumbuhan diperlahankan oleh segmen perdagangan borong, yang menguncup berikutan kelemahan dalam dagangan borong petroleum dan produk petroleum, kata kementerian tersebut.
Pertumbuhan dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan menyederhana kepada 0.6 peratus tahun ke tahun berbanding 2.9 peratus pada suku kedua.
Perkembangan sektor berkenaan diperlahankan oleh pengangkutan air dan penyimpanan serta segmen perkhidmatan sokongan lain.
Sektor penginapan dan perkhidmatan makanan tumbuh 2.1 peratus tahun ke tahun, lebih pantas daripada 1.9 peratus yang dicatat pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan itu disokong sektor penginapan yang berkembang seiring dengan peningkatan ketibaan pelawat.
Sektor maklumat dan komunikasi mencatat pertumbuhan 2.2 peratus tahun ke tahun, meneruskan pertumbuhan 1.5 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan itu disokong segmen IT dan perkhidmatan maklumat ekoran permintaan tinggi untuk penyelesaian IT oleh perniagaan.
Sektor kewangan dan insurans menguncup 0.7 peratus tahun ke tahun, merosot daripada pertumbuhan 0.7 peratus pada suku kedua.
Perangkaan menunjukkan ini disebabkan kelemahan dalam perantaraan kewangan luar pesisir, pengurusan dana dan segmen pengurusan keselamatan.
Sektor perkhidmatan perniagaan mengembang 0.2 peratus tahun ke tahun, lebih rendah daripada pertumbuhan 0.7 peratus pada suku kedua.
Kementerian itu berkata, pertumbuhan disokong oleh segmen perkhidmatan profesional manakala segmen hartanah terus menguncup.
Sementara itu, pertumbuhan 'industri perkhidmatan lain' mencatat 2.3 peratus, lebih tinggi daripada 1.7 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan dalam sektor tersebut disebabkan segmen pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan sosial.
Mengenai prestasi ekonomi 2016, kementerian itu berkata, keadaan ekonomi global kekal lembap dengan pertumbuhan setahun penuh untuk 2016 dijangka lebih rendah daripada 2015.
Seiring dengan persekitaran luaran yang lembap, ekonomi Singapura berkembang pada tahap lebih rendah 1.7 peratus pada tiga suku pertama 2016, berbanding 2.1 peratus dalam tempoh yang sama setahun lalu.
Pertumbuhan menerima tekanan terutama daripada prestsi lemah daripada sektor perkhidmatan perniagaan dan dagangan borong dan runcit.
Kementerian itu berkata, sehingga akhir tahun, pertumbuhan KDNK Singapura dijangka kekal sederhana, manakala untuk 2017, pertumbuhan global diunjur meningkat sedikit. Oleh itu ekonomi Singapura juga dijangka tumbuh pada tahap
sederhana.
- Bernama

