Maria gagal cabar persempadanan SPR
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah bagi mendapatkan kebenaran bagi prosiding semakan kehakiman berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR.
Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan berkata bahawa walaupun permohonan untuk semakan itu bukannya remeh, beliau tidak dapat melihat bagaimana kes itu akan dihujah.
"Mahkamah terikat dengan penghakiman kes See Chee How lawan SPR di bawah prinsip stare decisis.
See, ADUN Batu Lintang Sarawak mencabar persempadanan semula SPR di Sarawak tahun lalu dan kesnya dibawa ke mahkamah tertinggi negara tetapi beliau gagal.
"Oleh itu, permohonan itu ditolak," kata Azizul Azmi tetapi beliau tidak menetapkan sebarang kos.
Maria memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 10 Oktober lalu bagi mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan notis syor-syor yang dicadangkan bertarikh 15 September lalu seperti yang telah dikaji semula oleh SPR.
Beliau mendakwa permohonan itu dibuat bagi pihak pemilih-pemilih berdaftar di Bahagian Pilihan Raya Persekutuan P106 Petaling Jaya Utara untuk memohon perisytiharan bahawa proses persempadanan semula yang dimulakan oleh SPR melalui notis tersebut adalah tidak sah dan batal.
Pihak pemohon selain itu memohon perisytiharan berhubung maklumat tentang keluasan tanah bagi bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan bahagian Pilihan Raya Negeri harus dikemukakan kepada orang awam apabila SPR mengeluarkan suatu notis di bawah Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.
Turut dimohon adalah perintah mandamus untuk mengarahkan SPR memberi maklumat tersebut kepada pihak pemohon.
Maria kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

