Pulau Pinang bayar sendiri bina lebuh raya Gurney Drive
Cadangan lebuh raya lapan lorong yang dirancang untuk Gurney Drive telah dikritik oleh pembangkang Pulau Pinang apabila ia diumumkan pada bulan Mac yang lalu.
Namun, kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan bahawa projek itu akan membantu menyuraikan trafik yang berpunca daripada projek Sri Tanjung Pinang 2 (STP2) di Tanjung Tokong.
Anggaran kos projek itu adalah sekitar RM300 juta kepada RM400 juta, Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.
"Pada masa ini, kerajaan negeri akan membiayai projek itu tetapi perbincangan mengenai aspek kewangan tersebut masih berjalan," kata Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang, Lim Hock Seng.
Lim yang merupakan ADUN Bagan Jermal mengumumkannya ketika berucap semasa menggulung perbahasan Bajet Pulau Pinang 2017 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri pada 15 November yang lalu.
Bagaimanapun, ujar Lim, projek itu masih dalam 'peringkat konsep' dan akan dibina di atas sebidang tanah tebus guna di Gurney Drive.
Lebuh raya ini akan dihubungkan dengan cadangan jalan raya berpasang Tanjung Bungah-Teluk Bahang dan pintasan Gurney Drive-Tun Dr Lim Chong Eu.

