Most Read
Most Commented
Read more like this

Mahkamah Persekutuan hari ini menggugurkan hukuman penjara tiga bulan ke atas peguam dan Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Zainur Zakaria berhubung kes menghina mahkamah yang dijatuhkan oleh hakim Augustine Paul pada 1998.

Ketika membacakan keputusan masing-masing, tiga hakim sebulat suara mengetepikan keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu dengan alasan tidak mengikuti prosedur ketika menjatuhkan hukuman itu.

Panel itu dipengerusikan oleh Ketua Hakim bagi Sabah dan Sarawak, Steve Shim Lip Kiong dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Abdul Malek Ahmad dan Haidar Mohamed Noor.

Zainur selepas itu berkata, beliau "gembira tetapi tidak terperanjat dengan keputusan ini."

"Mahkamah Persekutuan telah mengesahkan keputusan yang saya buat ketika mengajukan permohonan bagi pihak Anwar (Ibrahim), dan bahawa saya tidak diberikan peluang untuk membela diri," katanya.

Steve Shim berkata Paul tidak menggunakan budi bicaranya mengikut lunas-lunas kehakiman ketika mensabitkan Zainur dengan kesalahan itu. Sepatutnya hakim itu memberikan peluang kepada peguam itu membela diri, tambahnya.

Zainur didapati bersalah menghina mahkamah pada 30 November tiga tahun lalu, ketika membuat permohonan bagi pihak bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk menyingkirkan timbalan-timbalan pendakwaraya kanan Abdul Gani Patail dan Azhar Mohamad.

Tidak perlu mohon maaf

Sebagai salah seorang peguam yang membela Anwar dalam kes salah guna kuasa, Zainur membuat permohonan itu dengan alasan dua timbalan pendakwaraya itu telah memberikan tekanan terhadap rakan Anwar, S Nallakaruppan, yang waktu itu dituduh memiliki senjata secara haram.

Sebagai menggantikan hukuman yang lebih ringan terhadapnya, Nallakaruppan dikehendaki memalsukan bukti terhadap salah laku seks Anwar.

Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan Zainur pada 5 September tahun lalu.

Steve Shim juga berpendapat, keputusan Paul itu dibuat berdasarkan bukti dokumen semata, tanpa memanggil sebarang saksi.

"Saya tidak bersetuju dengan tuduhan mahkamah tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa Zainur telah bertindak cuai ketika menfailkan permohonan itu. Permohonan itu munasabah," katanya.

Manakala Abdul Malek pula berkata Paul bertindak "seolah-olah beliau berhujah bagi pihak dua timbalan pendakwaraya."

Beliau juga berkata Paul hanya memberikan masa sehari, itupun pada hari cuti, untuk Zainur menyediakan hujahnya sedangkan hakim itu "telah cukup bersedia" dengan hujah-hujahnya.

Abdul Malek juga berkata Zainur tidak perlu memohon maaf kepada mahkamah kerana beliau tidak bertindak salah membuat permohonan itu.

"Tindakan hakim menyebabkan hukuman menghina mahkamah dijatuhkan dan saya dapati Zainur tidak bersalah. Rayuannya (untuk dibebaskan daripada kesalahan itu) dibenarkan," katanya.

Tepukan gemuruh

Haidar pula berkata Zainur hanya menjalankan tugas bagi pihak anak guamnya, Anwar.

"Saya fikir inilah kali pertama seorang peguam dijatuhkan hukuman kerana memohon pihak pendakwaraya diketepikan," katanya.

Beliau berhujah, Anwar berhak memohon pihak pendakwa diketepikan jika wujud alasan-alasan yang munasabah.

"Jika ia munasabah, maka tidak timbul soal Zainur bertindak cuai dan berniat jahat, atau cuba meremehkan mahkamah," katanya.

Dalam kes ini, katanya, permohonan itu dianggap munasabah dan hukuman terhadap peguam itu digugurkan.

Ketiga-tiga hakim itu, selepas membacakan penghakiman masing-masing, menerima tepukan gemuruh daripada mereka yang hadir.

Kamar mahkamah dipenuhi penyokong Keadilan, termasuk Timbalan Presiden Dr Chandra Muzaffar, aktivis Pemuda Low Chee Chong dan beberapa peguam. Zainur juga bekas presiden Majlis Peguam Malaysia.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS