Wanita rakyat Msia, Virginia Leong mungkin ditahan semula
Ibu kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dari Malaysia yang dibebaskan daripada tahanan imigresen Isnin lalu, mungkin ditahan semula dalam tempoh 26 hari, demikian menurut jawatankuasa parlimen Australia.
Ibu kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dari Malaysia yang dibebaskan daripada tahanan imigresen Isnin lalu, mungkin ditahan semula dalam tempoh 26 hari, demikian menurut jawatankuasa parlimen Australia.
Naomi Leong, yang dilahirkan di pusat tahanan Villawood Sydney pada bulan Mei 2002, dan ibunya Virginia Leong, 31, dibebaskan daripada tahanan menggunakan visa sementara.
Bernama yang memetik Associated Press Australia melaporkan, Jawatankuasa Senat diberitahu hari ini bahawa Leong mempunyai 28 hari dari tarikh pembebasannya untuk memohon visa perlindungan atau ditahan semula.
Penolong setiausaha jabatan imigresen bagi kemasukan tanpa izin, Jim Williams berkata Leong telah dimaklumkan bahawa dia hanya mempunyai tempoh 28 hari mulai Isnin lalu untuk memohon visa perlindungan.
Ditanya apa yang akan berlaku jika Leong tidak memohon visa dalam tempoh 28 hari itu, tanpa Leong memohon visa terbabit, Williams berkata: "Wanita itu mungkin ditahan semula, kita akan tunggu masa itu."
Ada beberapa pilihan
Beliau turut diminta menjelaskan apa yang akan berlaku kepada Naomi Leong jika ibunya sekali lagi ditahan, tetapi dicelah oleh setiausaha jabatan Bill Farmer.
"Saya rasa masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu," kata Farmer yang merupakan bekas Persuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur.
"Kes beliau sedang diproses berdasarkan undang-undang. Saya tidak mahu kita bercakap berkaitan kes itu yang mengandaikan keputusan tertentu," katanya.
Ditanya oleh senator daripada Parti Buruh, Chris Evans sama ada Leong berhadapan dengan risiko ditahan jika permohonnnya untuk mendapatkan visa perlindungan ditolak, Farmer berkata: "Biar undang-undang menentukannya. Kita akan teliti kes itu. Leong ada beberapa pilihan."
Farmer berkata, ia termasuk keputusan Leong untuk meninggalkan Australia atau memohon campurtangan peringkat menteri untuk mendapatkan visa.
Pasport palsu
Sementara itu, Virginia Leong berkata beliau cuba meninggalkan Australia menggunakan pasport palsu kerana visa pelancongnya telah tamat tempoh, dan menurutnya beliau percaya yang beliau tidak punyai sebarang pilihan selain meninggalkan negara itu.
Leong, yang dibebaskan bersama anak perempuannya yang berumur tiga tahun, Naomi, dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney Isnin lalu berkata, pada masa ini, adalah mustahil baginya untuk memikirkan tentang rancangan masa depan.
Leong ditahan selepas ditangkap pada tahun 2001 lalu kerana didakwa cuba meninggalkan Australia menggunakan pasport palsu, dan Naomi dilahirkan di pusat tahanan berkenaan.
Kedua-dua mereka telah diberikan visa sementara oleh kerajaan, dan kerajaan Malaysia pula telah menggesa Leong supaya memohon untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi anaknya itu.
"Saya sebenarnya tidak tahu apa yang sedang berlaku terhadap diri saya ini," kata Leong kepada saluran Seven TV.
Hukuman berat
"Saya tidak punyai rancangan, cuma menempuh kehidupan dari hari ke hari. Semuanya berbeza sekarang ini, saya sudah hampir lupa segalanya, lupa tentang bangunan, nama-nama jalan, segalanya," tambahnya.
Ditanya mengapa dia ditangkap semasa cuba meninggalkan Australia menggunakan pasport palsu, Leong berkata visa pelancongnya telah tamat tempoh.
"Saya sangka sudah tidak ada cara bagi saya untuk tinggal di Australia. Saya tidak sangka hukuman yang diterima sangat berat. Naomi juga nampaknya terpaksa menanggungnya," katanya.
Leong berkata beliau kini tidak sabar untuk memperkenalkan Naomi kepada abang tiri Naomi, Griffith Yan, yang berumur tujuh tahun, buat pertama kali.
Leong dan Naomi kini tinggal bersama rakan mereka di Sydney dan telah meraikan hari pertama pembebasan mereka dengan menghabiskan masa di Parramatta Park.
"Saya rasa Naomi sangat gembira, dia masih belum dapat sesuaikan dirinya lagi," katanya


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.