Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mayat tersalah serah kepada keluarga lain
Diterbitkan:  Nov 26, 2016 6:15 AM
Dikemaskini: 10:23 PM

Polis mengesahkan mayat seorang lelaki yang sebelum ini diserah kepada keluarga lain oleh Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) adalah mayat Fong Meng Tuck, 60.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata pengesahan itu diperoleh hasil ujian DNA terhadap sampel darah tiga anak lelaki berkenaan oleh Jabatan Kimia yang mendapati ia 99.99 peratus sepadan dengan Fong.

"Kami menerima laporan polis dari anak lelaki Fong pada Isnin lepas yang mendakwa mayat bapanya kemungkinan tersilap diberikan kepada keluarga lain dan polis kemudiannya membuka kertas siasatan kes berkenaan," katanya .dalam satu sidang akhbar semalam.

Menurutnya, ujian DNA dibuat berdasarkan sampel darah Fong yang diambil semasa proses bedah siasat dan hasil ujian itu dikeluarkan semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Perubatan Forensik HPP, Datuk Dr Zahari Noor dan Pengerusi Lembaga Pelawat HPP, Lim Thoon Deong.
-
Jabatan Perubatan Forensik HPP sebelum ini dilapor tersalah menyerahkan mayat Fong kepada keluarga lain yang kebetulan turut menuntut mayat seorang lelaki berusia 73 tahun yang meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira pukul 12 tengah hari Isnin lalu.

Mereka kemudian membawa pulang mayat itu dan melakukan upacara pembakaran sebelum abu mayat disimpan ahli keluarga berkenaan.

Anak lelaki Fong yang mahu menuntut mayat bapanya kira-kira 2 petang terkejut apabila dimaklumkan mayat sudah tiada di HPP.

Mior Faridalathrash berkata polis mendapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard semasa penyerahan mayat iaitu anak saudara kepada lelaki berusia 73 tahun itu tidak melakukan pengecaman kerana tidak tahan dengan bau mayat itu.

"Wanita berusia 53 tahun itu beberapa kali muntah kerana tidak tahan bau mayat bapa saudaranya yang mati tiga hari sebelum ditemui dalam rumahnya dan tidak membuat pengecaman.

"Dia hanya meminta pihak pengurusan mayat menguruskan mayat bapa saudaranya yang tidak mempunyai anak itu sebelum terus membawa ke tempat pembakaran di Mount Erskine dan membakarnya tanpa melihatnya terlebih dahulu," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS