Bekas tentera berdemonstrasi bantah Chin Peng pulang ke Msia
Terjemahan Laungan anti-komunis bergema di bandaraya Georgetown hari ini apabila kira-kira 150 bekas tentera berkumpul membantah permohonan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng supaya dibenarkan pulang ke Malaysia.
Terjemahan Laungan anti-komunis bergema di bandaraya Georgetown hari ini apabila kira-kira 150 bekas tentera berkumpul membantah permohonan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng supaya dibenarkan pulang ke Malaysia.
Dalam demonstrasi selama 30 minit di luar bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, mereka membawa sepanduk mengutuk bekas ketua PKM berusia 81 tahun ini sebagai seorang pembunuh, pengkhianat dan pengganas.
Mereka turut melaungkan slogan anti-komunis dan anti-Chin Peng.
Peguam Chin Peng, Darshan Singh Khaira mengutuk tindakan kumpulan tersebut dan mendakwa kerajaan mengamalkan dwi-standard.
"Ia adalah satu demonstrasi haram dan pihak polis membenarkan ia diadakan. Apakah pihak polis akan membenarkan demonstrasi yang sama dan pro-Chin Peng diadakan," soalnya.
Darshan berkata, beliau akan membuat laporan polis terhadap mereka yang mengadakan demonstrasi tersebut.
Kes dipindahkan
Awal pagi tadi, Pejabat Peguam Negara telah membuat permohonan kepada mahkamah supaya perbicaraan kes pemohonan Chin Peng itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Peguam Kanan Persekutuan Umi Kalthom Abdul Wahab berkata, kes tersebut paling sesuai didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana semua jabatan kerajaan terletak di ibu negara itu.
"Ia juga akan membantu kes ini didengar dengan lebih cepat dan lancar," katanya kepada Hakim Datuk Mohd Noor Abdullah.
Umi Kalthom, yang mengetuai bahagian sivil di Pejabat Peguam Negara, dibantu oleh Peguam Persekutuan Azizah Nawawi.
Bagaimanapun, peguam Chin Peng yang diketuai Darshan, menyifatkan alasan Pejabat Peguam Negara untuk memindahkan kes itu ke Kuala Lumpur - kerana semua pejabat kerajaan terletak di ibu negara - sebagai sangat lemah.
"Nanti semua kes pada masa depan terpaksa di pindahkan ke mahkamah tinggi persekutuan. Mana-mana mahkamah tinggi di negara ini layak untuk mendengar dan memutuskan kes Chin Peng," tambahnya.
Mohd Noor menetapkan 25 Julai ini untuk memutuskan permohonan tersebut serta empat lagi permohonan tiga dari Chin Peng dan satu dari Pejabat Peguam Negara.
Dalam afidavitnya yang difailkan pada 4 Mac lalu, Ong Boon Hua @ Chin Peng telah membuat permohonan mahkamah supaya dibenarkan pulan ke Malaysia bersama beratus-ratus lagi bekas anggota PKM. Chin Peng kini tinggal di Thailand.
Dia juga memfailkan permohonan tambahan untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkannya masuk ke negara ini untuk menghadiri perbicaraan berhubung permohonannya itu.
Chin Peng yang dilahirkan di Sitiawan, Perak, juga memohon kepada mahkamah tinggi supaya memerintahkan kerajaan memberi senarai bekas anggota komunis yang telah disenaraikan untuk pulang ke Malaysia.
Dokumen diperlukan
Pejabat Peguam Negara memohon mendapatkan perintah mahkamah supaya Chin Peng menunjukkan sijil kelahiran dan sijil kerakyatannya.
Mengikut Darshan, hampir 300 bekas anggota komunis, termasuk Chin Peng, telah menyenaraikan diri mereka dalam tempoh setahun selepas Perjanjian Damai Haadyai ditandatangani, untuk pulang ke Malaysia.
Chin Peng merupakan bekas setiausaha aung kesebelas PKM yang berjuang menentang penjajahan British, pendudukan Jepun dan kemerdekaan Malaya (yang terdiri daripada Malaysia dan Singapura) selama lebih 40 tahun.
Walaupun perjuangan bersenjata PKM berakhir dengan termeterainya perjanjian damai, pihak kerajaan tidak membenarkan Chin Peng pulang kerana mendakwa dia terbabit dengan pertubuhan yang diharamkan yang mempunyai sejarah melakukan keganasan di negara ini.
Manakala Pejabat Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, pihaknya menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan permohonan Chin Peng itu.
Dalam permohonannya, Chin Peng membangkitkan syarat-syarat yang terkandung dalam Perjanjian Damai Haadyai 1989, yang disaksikan oleh empat wakil dari kerajaan Thailand.
Perkara 3 dalam Perjanjian Pertadbiran di antara kerajaan Malaysia dan PKM untuk menamatkan permusuhan itu, menyebut, kerajaan akan membenarkan bekas anggota PKM dan unit-unit bersenjatanya yang telah dibubarkan, kembali menetapkan di Malaysia, jika mereka berhasrat berbuat demikian.
Perkara 3.1 pula menyebut, anggota-anggota yang berasal dari Malaysia yang ingin menetap di Malaysia hendaklah dibenarkan berbuat demikian mengikut undang-undang yang terdapat di negara ini.
Perkara 3.2 menyebut, anggota-anggota yang bukan berasal dari Malaysia juga boleh dibenarkan menetapkan di Malaysia mengikut undang-undang di negara ini, jika mereka mahu berbuat demikian.
Manakala Perkara 4 pula menyebut, pihak berkuasa Malaysia akan membantu anggota-anggota berkenaan untuk memulakan hidup baru.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri ketika itu, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman; Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Hashim Mohd Ali dan Ketua Polis Negara Tun Mohd Hanif Omar menandatangani perjanjian itu bagi pihak kerajaan.
Manakala Chin Peng, Pengerusi PKM Abdullah CD serta ahli jawatankuasa pusatnya, Rashid Maidin, mewakili parti tersebut.
Athi Veeranggan adalah wartawan sambilan Malaysiakini di Pulau Pinang


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.