Kelantan wajibkan ujian saringan HIV kepada bakal pengantin
Semua bakal pengantin Islam yang ingin berkahwin di Kelantan akan diwajibkan menjalani ujian saringan HIV menjelang Januari tahun depan.
Semua bakal pengantin Islam yang ingin berkahwin di Kelantan akan diwajibkan menjalani ujian saringan HIV menjelang Januari tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Dan Dakwah Negeri Hassan Mahamood berkata penduduk negeri lain yang ingin berkahwin di sini atau dengan pasangan dari negeri ini juga perlu mendapatkan sijil saringan selain sijil kursus kahwin.
"Kita hanya akui sijil yang dikeluarkan hospital kerajaan sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu hari ini.
Hassan berkata, langkah itu diambil bagi menjaga kesucian institusi keluarga memandangkan terdapat peningkatan jangkitan HIV di kalangan penduduk Kelantan dari tahun ke tahun.
Mengikut perangkaan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan Kelantan, 921 orang dijangkiti HIV sepanjang tahun lalu, lebih satu pertiganya berumur antara 20 dan 29 tahun.
Penerangan terperinci
Menurut laporan Bernama, Hassan berkata kebanyakan kes jangkitan HIV di Kelantan berpunca daripada penagihan dadah dan aktiviti seks tidak sihat.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan menghalang pasangan untuk meneruskan perkahwinan walaupun ujian mendapati mana-mana antara bakal pengantin itu positif HIV.
Bagaimanapun, katanya, penjelasan dan penerangan terperinci mengenainya akan diberikan kepada pasangan berkenaan.
"Setelah kita beri penjelasan, kalau mereka nak kahwin juga, terserahlah," kata Hassan


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.