Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ambiga: Maria, wanita yang perkenal saya pada BERSIH

Apabila disebut tentang pergerakan BERSIH, kebanyakan rakyat Malaysia lebih mengenali bekas pengerusi bersamanya, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Selepas beliau mengetuai perhimpunan BERSIH 2 dan BERSIH 3, mungkin ada yang merasakan bahawa pengerusi BERSIH sekarang, Maria Chin Abdullah tidak sebegitu terkenal sebagai pengganti Ambiga.

Tetapi Ambiga, yang bertemu Maria tujuh tahun lalu, sebaliknya berkata Maria lah yang merupakan wanita sebenar di sebalik BERSIH.

Sambil menegaskan bahawa dia tidak menghadiri perhimpunan pertama BERSIH pada 2007, Ambiga berkata Maria dan penganalisis politik Wong Chin Huat telah mengunjunginya di pejabatnya dan memberi "penghormatan padanya untuk memimpin BERSIH".

"Saya adalah pemimpin Majlis Peguam, kemudian saya menjadi seorang aktivis. (Tetapi) Maria dilahirkan sebagai seorang aktivis.

"Dia dan suaminya Yunus (Ali) - kehidupan mereka adalah untuk berkhidmat kepada rakyat," kata Ambiga.

Ambiga menceritakan perkara itu di majlis pelancaran kempen 'Bebas Maria dan Mansuhkan Sosma' yang dihadiri oleh kira-kira 2,000 orang yang sesak memenuhi dewan Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya malam tadi.

Maria kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) dan disiasat di bawah Seksyen 124 (c) Kanun Keseksaan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti yang "memudaratkan demokrasi berparlimen".

Beliau ditangkap pada malam sebelum perhimpunan BERSIH5 Sabtu lalu yang menyaksikan lebih 40,000 orang berarak di jalan-jalan di Kuala Lumpur untuk menuntut tadbir urus yang baik dan pilihan raya yang bersih.

Selain ucapan pemimpin politik dan aktivis, hadirin yang datang untuk menunjukkan sokongan pada Maria, turut dihiburkan dengan beberapa persembahan permainan gitar dan bacaan puisi.

Mereka bertepuk tangan dan bersama-sama menyanyi semasa persembahan tersebut, manakal ramai juga yang mengambil kesempatan untuk mengambil gambar di dalam penjara olok-olok yang didirikan di luar dewan.

Penjara olok-olok itu, walaupun diperbuat daripada kayu, menyerupai sel penjara sebenar.

Penganjur acara itu berkata penjara olok-olok itu adalah untuk menunjukkan keadaan Maria dalam bilik kurungannya.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS