Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP bidas PAS mahu tentang Akta 164
Diterbitkan:  Nov 29, 2016 1:44 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok hari ini membidas Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan kerana memberi amaran akan menentang Akta 164 jika Akta 355 diganggu.

Beliau yang juga anggota Parlimen Seputeh berkata, kenyataan Takiyuddin itu sama sekali mengejutkan, melampau, tidak boleh diterima dan tidak bertanggungjawab.

"Kenyataannya itu juga menunjukkan bahawa PAS telah melupuskan slogannya 'PAS Untuk Semua'.

"Sehingga hari ini, ternyata PAS masih tidak faham mengapa orang bukan Islam tidak menyokong Rang Undang-undang yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"PAS bertekad mahu bermain politik dalam isu keagamaan demi kepentingannya," ujar beliau dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Takiyuddin berkata, PAS berasa bimbang terhadap bantahan berterusan masyarakat bukan Islam terhadap usul untuk menambah hukuman Mahkamah Syariah.

Ujar Takiyuddin, jika usaha itu diganggu, mungkin berlaku akan menyebabkan perkara sama berlaku terhadap undang-undang melibatkan bukan Islam.

“Saya bagi contoh Akta 164 – Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian). Itu satu undang-undang yang ada kaitan dengan orang bukan Islam dari segi perkahwinan, penceraian dan hak penjagaan.

“Jadi kalau RUU355 diganggu, kita bimbang orang Islam tidak akan bersetuju dengan pembaharuan undang-undang, yang juga ada kaitan dengan orang Islam, terutamanya apabila pasangan itu masuk Islam dan sebagainya.

“Jadi kita minta, we must play a fair game. Jangan ganggu hak orang Islam dan kita harap orang Islam tidak akan menyusahkan orang bukan Islam.

“Kalau nak main macam itu kita pun boleh tentang pindaan terhadap Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian),” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Kok berkata, DAP bertegas tidak akan berkompromi dalam mempertahan dan menegakkan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan yang sekular dengan Islam adalah agama rasmi negara ini.

"Takiyuddin mungkin terlupa apa yang Abdul Hadi pernah katakan mengenai undang-undang Islam yang akhirnya memberi kesan kepada bukan Islam tetapi ramai rakyat Malaysia tidak lupakan itu," katanya.

Lihat Komen
ADS