Perdana Menteri hari ini berkata Ketua Menteri atau Menteri Besar yang dilantik bukannya berkhidmat untuk kaum tertentu sahaja, tetapi mewakili kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab kepada pembangunan dan kesejahteraan keseluruhan rakyat dalam negara.

"Sesiapapun yang menjadi Ketua Menteri atau Menteri Besar akan memahami bahawa dia adalah Ketua Menteri atau Menteri Besar BN yang bertanggungjawab kepada rakyat yang terdiri daripada semua kaum," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Pengerusi BN, kepada wartawan Malaysia di akhir lawatan tiga harinya ke Jepun.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas cadangan Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir supaya diwujudkan sistem penggiliran Ketua Menteri Pulau Pinang seperti yang pernah diamalkan di Sabah.

Ketika berucap di persidangan perwakilan bahagian tersebut Ahad lalu, Musa Sheikh Fadzir Musa dilaporkan meminta jawatan Ketua Menteri digilirkan sebagai membuktikan semangat tolak ansur dan persefahaman yang sedia terjalin dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Menurut Musa, gesaan tersebut dibuat atas alasan Ketua Menteri sekarang, iaitu Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon tidak membela nasib golongan Melayu di negeri itu.

Malah, katanya, mesejnya kepada Tsu Koon ialah: ``Orang Melayu Pulau Pinang hari ini tidak puas hati dengan kepimpinan anda''.

Musa berkata, soal siapa menjadi Ketua Menteri adalah penting kerana selama ini orang Melayu terus tidak mendapat pembelaan sewajarnya khususnya perkara berkaitan mendapatkan peluang perniagaan dan ekonomi.

Beliau turut meminta pemimpin-pemimpin UMNO negeri yang lain supaya tidak bersikap hipokrit dengan hanya berani bercakap isu itu di belakang.

Pegang pada 'status quo'

Mengulas lanjut mengenainya, Abdullah berkata: "Tidak bermakna apabila orang Melayu menjadi Ketua Menteri, yang baik akan dihulurkan kepada orang Melayu manakala yang tidak baik kepada kaum-kaum lain."

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kerajaan berpegang kepada `status quo' dan melaksanakan apa yang dirunding dan dipersetujui dahulu.

"Kita akan teruskan cara itu. Yang penting ialah kita eratkan kerjasama dan muafakat dalam BN. Inilah prinsip muafakat perkongsian kuasa parti-parti komponen BN," tegasnya.

Abdullah turut diminta mengulas mengenai kebimbangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap budaya rasuah, termasuk dalam parti-parti politik Malaysia, yang didakwanya semakin serius.

Semalam, Dr Mahathir melahirkan kebimbangan tentang amalan rasuah di negara ini, termasuk dalam parti politik, yang menurutnya menjadi"ancaman yang menjadi semakin ketara".

Rasuah: Tiada kompromi

Menurutnya, sebelum ini, seseorang tidak perlu memberi rasuah kepada sesiapa untuk dipilih, tetapi kini nampaknya, mereka perlu memberi rasuah untuk dipilih.

Beliau bimbang jika ia sudah menjadi perkara biasa, ia tidak boleh disekat lagi kerana semua orang terlibat dengannya.

Ketika mengulas perkara itu, Abdullah berkata bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam membanteras gejala rasuah.

"Kita akan meneruskan usaha perjuangan kita untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan rasuah. Tidak ada kompromi," tegasnya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan menyiasat dan mengenakan hukuman terhadap pesalah rasuah, tetapi pendekatan yang lebih penting dan giat dilakukan adalah program pencegahan.

"Ini dilakukan dalam pelbagai program. Saya berharap usaha kita untuk memerangi rasuah akan berhasil," katanya.