Berkuatkuasa hari ini: Tidak boleh lagi pertikai Lembaga Disiplin Umno
Berkuatkuasa hari ini, ahli Umno yang mempertikai secara terbuka keputusan Lembaga Disiplin parti akan terus diberi surat tunjuk sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap mereka.
Berkuatkuasa hari ini, ahli Umno yang mempertikai secara terbuka keputusan Lembaga Disiplin parti akan terus diberi surat tunjuk sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap mereka.
Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata lembaga itu telah mengambil ketetapan bahawa ahli parti yang mempertikai sebarang keputusannya secara terbuka adalah juga mempertikaikan keputusan parti dan mereka boleh diambil tindakan disiplin di bawah fasal 20 Perlembagaan Umno.
"Saya ingin nyatakan di sini bahawa mulai hari ini, 26 Mei 2005, ahli-ahli Umno yang secara terbuka masih mempertikaikan keputusan-keputusan Lembaga Disiplin, pada hemat Lembaga Disiplin boleh disabitkan di bawah Fasal 20.8 Perlembagaan Umno.
"Pihak Lembaga Disiplin tidak akan lagi memberi peluang kepada mana-mana ahli Umno untuk memberi penjelasan dan memohon maaf secara terbuka atas perlakuan ini, sebaliknya akan terus mengeluarkan surat tunjuk sebab kenapa tindakan disiplin tidak boleh diambil," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut laporan Bernama, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata pada masa lepas, anggota parti yang didapati melakukan kesalahan itu telah diarah memberi penjelasan dan membuat permohonan maaf secara terbuka sebelum tindakan lanjut diambil oleh parti, termasuk mengeluarkan surat tunjuk sebab.
"Saya berharap dengan kenyataan ini, ahli-ahli Umno akan menyalurkan apa jua pandangan dan saranan melalui saluran-saluran yang sedia ada dan sekaligus akan mencerminkan ketatatertiban berpersatuan yang tinggi.
"Ini akhirnya akan mengukuhkan lagi imej dan kredibiliti Lembaga Disiplin khususnya dan parti Umno amnya," katanya.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menyentuh mengenai keputusan lembaga tersebut dalam kes yang membabitkan Ketua Umno Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim dan Ketua Umno Lembah Pantai, Datuk Shahrir Abdul Jalil (foto).
Kedua-duanya telah diberi surat tunjuk sebab selepas mereka mempertikaikan secara terbuka keputusan lembaga tersebut yang mendapat kedua-dua bersalah terbabit dalam politik wang semasa pemilihan Umno tahun lalu.
Shahrir (foto) telah dikenakan hukuman gantung keahlian selama tiga penggal manakala Zaid pula hanya mendapat surat amaran.

