Wanita, Puteri gesa penubuhan Majlis Peguam Syarie
Pergerakan Wanita Umno hari ini menggesa kerajaan menubuhkan Majlis Peguam Syarie bagi menambah baik urus tadbir undang-undang syariah dan memudahkan urusan amalan guaman syarie di negeri-negeri.
Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sekiranya Majlis Peguam boleh diwujudkan, mengapa tidak Majlis Peguam Syarie.
Pergerakan itu turut menyarankan institusi Mahkamah Syariah dimartabatkan selaras Mahkamah Sivil.
“Kalau hari ni kita ada Bar Council (Majlis Peguam), kenapa tak boleh ada macam Majlis Peguam Syarie. Apa yang nak tunggu lama sangat, tak sama status ke undang-undang syariah dengan undang undang sivil.
“Saya percaya dengan ada Majlis Peguam Syarie, pentadbiran undang undang syariah di Malaysia akan akan di peringkat lebih baik,” katanya semasa ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Wanita Umno di PWTC, hari ini.
Shahrizat yang juga bekas seorang peguam mempersoalkan mengapa majlis untuk peguam syariae mengambil masa yang lama untuk ditubuhkan.
“Saya nak tahu, apa yang jadi kekangan sehingga sangat lambat untuk penubuhan majlis peguam syarie,” katanya dengan nada kesal.
Shahrizat turut mencadangkan majlis itu diletakkan di bawah naungan Majlis Raja-Raja Melayu bagi memudahkan urus tadbir di masa hadapan.
“Penubuhan majlis peguam syarie di bawah naungan dan urus tadbir oleh majlis raja raja bagi memudahkan amalan guaman syarie,” katanya.
Shahrizat juga membawa beberapa resolusi untuk memperkasakan Mahkamah Syariah yang telah di persetujui, antaranya menambah hakim, pegawai mahkamah (baliff) pencatat dan pembantu Jabatan Bantuan Guaman yang terdiri dariapada wanita.
“Puteri ingin mencadangkan agar Majlis Peguam Syarie ditubuhkan bagi meningkatkan profesionalisme dan intergriti peguam syarie yang sekaligus dapat menyelesaikan masalah kelewatan proses perceraian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada ucapan dasarnya juga membuat cadangan yang serupa.
Menurut Mas Ermieyati sejak pemerkasaan mahkamah syariah pada 2001, tidak diikuti dengan usaha untuk meningkatkan profesionalisme dan intergriti dalam kalangan peguam syarie.
Pada hal, katanya, profesionalisme dan intergriti dalam kalangan peguam syarie akan turut menyumbang proses di mahkamah syariah berjalan lancar dan cepat.
Memetik, kadar penceraian yang terus memperlihatkan trend yang amat membimbangkan, katanya data terbaharu menunjukkan sekitar 267 kes penceraian berlaku setiap hari.
“Hal ini bermakna sekitar 11-12 kes penceraian terjadi untuk setiap jam, 8120 kes untuk setiap bulan dan 97455 kes penceraian selama setahun.
“Fenomena ini memberikan kesan rentetan yang pelbagai kepada golongan wanita muda yang terlibat termasuk kelambatan proses tertentu di mahkamah syariah, hak penjagaan dan lain-lain,” katanya.

