Terjemahan Selepas Prof Madya Dr Edmund Terence Gomez, terpaksa meletakkan jawatan di Universiti Malaya (UM) apabila permohonan cutinya untuk dipinjamkan bertugas di sebuah agensi Bangsa-bangsa Bersatu, ditolak, kini permohonan isterinya untuk bercuti tanpa gaji bagi mengikutnya ke Geneva, pula ditolak oleh pihak UM.

Isterinya, Dr Sharmani Patricia Gabriel pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris di Fakulti Sastera dan Sains Sosial memohon cuti tanpa gaji selama dua tahun mulai Januari tahun depan.

Gomez yang bertugas di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM dalam bidang ekonomi-politik, memohon cuti tersebut untuk dipinjamkan bertugas dengan Institut Penyelidikan Pembangunan Sosial (UNRISD) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, bagi mempelopori penyelidikan global mengenai konflik kaum.

"Cara permohonan saya ditolak manakala isterinya pula diberitahu permohonannya tidak akan disokong, pada fikiran saya, merupakan satu kes serius penganiayaan dan salahguna kuasa oleh pihak berkuasa universiti berkenaan," katanya dalam surat kepada editor yang diemelkan kepada malaysiakini hari ini.

Beliau membidas pihak berkuasa universiti tersebut kerana gagal menangani permohonan cutinya itu secara "adil dan rasional" dan "kini bertindak tanpa perasaan untuk menghalang keluarga saya untuk bersama-sama saya di Geneva".

Cuti yang dipohon oleh Gomez itu biasanya dibenarkan bagi aktiviti yang boleh mengharumkan nama universiti berkenaan.

Berikutan keputusan pihak berkuasa universiti menolak permohonannya itu, maka Gomez terpaksa menghantar surat perletakan jawatan awal bulan ini.

Dalam wawancara dengan malaysiakini Selasa lalu, Gomez berkata, beliau terpaksa meletakkan jawatan "dengan hari yang berat" selepas berkhidmat lebih 10 tahun di universiti tersebut.

Tidak disokong ketua jabatan

Menurut Gomez, isterinya telah menghantar surat permohonan cutinya itu kepada ketua jabatannya Jumaat lalu.

"Permohonan cuti ini, sepertimana yang dijelaskan oleh isteri saya dalam suratnya, adalah untuk membolehkannya dan tiga anak kami mengikut saya di Geneva," katanya.

Bagaimanapun, dua hari lalu, isterinya menerima jawapan bertulis daripada ketua jabatannya yang menunjukkan permohonannya itu akan ditolak.

Dalam surat tersebut, ketua jabatannya menegaskan bahawa beliau tidak akan menyokong permohonan Sharmani dan mahu beliau kembali bertugas pada Semester 2, tahun 2005/2006.

Menurut Gomez, isterinya yang kini sedang bercuti sabatikal selama sembilan bulan, dijadual kembali bertugas di UM pada 26 Disember depan.

"Alasan yang diberikan oleh ketua jabatannya ialah ada kakitangan akan bersara, meletak jawatan ataupun mengambil cuti sabatikal," katanya.

Gomez berkata, adalah menjadi amalan biasa bagi pihak pentadbiran universiti untuk berbincang dengan pensyarah terbabit sekiranya ada masalah berhubung permohonan cuti untuk diselesaikan dengan baik.

Katanya, mengikut peraturan universiti, seseorang pensyarah dibenar memohon cuti tanpa gaji bagi tempoh sehingga tiga tahun untuk bersama suami/isterinya di luar negeri supaya keluarga mereka tidak terpisah.

"Saya sangat kecewa dengan tindak-tanduk pihak berkuasa universiti yang bersikap autokratik, tanpa rundingan, angkuh dan tidak profesional," katanya.

Mohon jasabaik Pak Lah

Berikutan keputusan pihak universiti menolak permohonan cuti Sharmini, maka ia bermakna keluarga Gomez tidak dapat bersamanya di Geneva.

Gomez meminta Prime Minister Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Salleh supaya mengkaji semula isu tersebut 'bagi memastikan permohonan cuti saya untuk bertugas di UNRISD diberi pertimbangan adil dan penuh rasa simpati'.

Sebelum ini, pihak universiti itu berkata ia memutuskan untuk tidak melepaskan Gomez dipinjamkan bertugas di UNRISD kerana "perkhidmatannya amat diperlukan di universiti tersebut."

Malaysiakini telah berusaha beberapa kali untuk menghubungi ketua Jabatan Bahasa Inggeris UM, Dr Agnes Yeow Swee Kim, untuk mendapatkan ulasannya, tetapi gagal.

Manakala Naib Canselor UM, Prof Dr Hashim Yaacob juga tidak dapat dihubungi berhubung perkara tersebut.