Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini menamakan Khairul Azwan Harun untuk menggantikan tempat beliau selepas penggalnya berakhir nanti.

Khairul Azwan Harun yang popular dengan gelaran Azwan Bro kini menjawat jawatan naib ketua pergerakan tersebut.

Ujar Khairy, beliau bersedia untuk memberi laluan kepada Khairul Azwan untuk menerajui kepemimpinan sayap itu apabila tiba masanya.

"Ini... di belakang saya," katanya ketika ditanya tentang siapa yang difikirkan berpotensi untuk menggantikan beliau, memetik laporan Utusan Online.

Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata demikian kepada pemberita pada perhimpunan agung Pemuda UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beberapa bulan yang lalu, Azwan Bro mencetuskan kontroversi apabila membuat laporan polis terhadap bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Kata Azwan Bro, ketiga-tiga individu berpengaruh di negara ini dipercayai terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia yang sah.

Jelas beliau, ketiga-tiga mereka disyaki memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar negara, termasuk kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Ekoran tindakannya itu, Azwan Bro dikritik hebat oleh banyak pihak termasuk Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA) dan beberapa pimpinan Umno yang menjarakkan diri dengan isu tersebut, malah Khairy sendiri yang menganggap ia sebagai bukannya pendirian sayap parti itu.

Selepas mengepalai sayap Pemuda Umno, Khairy pula dikatakan sedang meninjau peluang untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada sesi pemilihan akan datang.