Sesi penggulungan PAU kembali kepada tradisi - Annuar
Sesi penggulungan untuk Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun ini akan kembali kepada tradisinya iaitu ucapan penggulungan akan dilakukan oleh pucuk pimpinan utama parti.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu diputuskan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Khas parti yang diadakan malam tadi.
"Tahun ini kita balik kepada tradisi, anggota MT yang berkenaan akan diberi peluang, presiden (Najib) telah memberitahu tadi," kata Annuar ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu.
Secara tradisinya, ucapan penggulungan antara lain dilakukan oleh ketua-ketua sayap, wakil anggota MT, wakil kerajaan, naib presiden, timbalan presiden dan presiden parti.
Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas-tugas timbalan presiden menjelaskan mesyuarat malam tadi adalah mesyuarat biasa yang diadakan sehari sebelum perhimpunan agung hari ini.
Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mesyuarat MT turut membincangkan mengenai usul-usul yang akan menjadi panduan kepada jurucakap-jurucakap pada perhimpunan agung hari ini.
"Usul-usul yang telah dikumpul sebelum ini Alhamdulillah telah diterima, ini bermakna semua usul yang disediakan boleh dibahaskan oleh perhimpunan agung," kata Hishammuddin yang juga pengerusi jawatankuasa usul dan persiapan perhimpunan agung Umno.
Sementara itu, Najib melancarkan buku 'Infografik Pilihan' terbitan sulung Biro IT Umno sebagai wadah memberikan penjelasan terhadap isu semasa, menerangkan dasar dan program yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Buku setebal 100 muka surat itu memaparkan infografik yang disebarkan setiap hari melalui media sosial sejak Julai lepas hingga November.
Infografik yang terdapat dalam buku berkenaan meliputi isu-isu semasa dan peristiwa penting membabitkan negara antaranya Bajet 2017, Sukan Olimpik Rio 2016, Hari Kemerdekaan ke-59 dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Buku, yang menjadi sumber rujukan terhadap sesuatu isu dan peristiwa penting dalam dan luar negara itu akan diagih kepada para perwakilan perhimpunan agung Umno 2016.
Najib turut menyampaikan hadiah pertandingan mencipta laman web Umno 2016, julung kali dianjurkan oleh Biro IT Umno, yang dipengerusikan Datuk Ahmad Maslan.
Laman web Umno Lembah Pantai dipilih sebagai laman web terbaik manakala tempat kedua dimenangi Umno bahagian Subang dan tempat ketiga menjadi milik Umno bahagian Putrajaya, dengan masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai, piala iringan dan sijil.
- Bernama

