Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib minta ahli sokong Zahid, Hishammuddin
Diterbitkan:  Dec 1, 2016 11:22 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mahu seluruh ahli parti memberi sokongan dan kerjasama kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas timbalan presiden.

Walauapun tidak menyebut nama Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi merujuk kepada kerusi parlimen Pagoh, Najib menggunakan perumpamaan ‘ibarat patah tumbuh hilang berganti' untuk menggambarkan realiti hari ini.

Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat dari Umno tahun lalu.

"Kalau hilang di hujung Pagoh, syukur telah kita jumpa di Bagan Datoh.

"Kita raikan kini, saudara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, timbalan perdana menteri dan kini sebagai naib presiden yang menjalankan kerja timbalan presiden parti," katanya semasa ucapan dasar presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, pagi ini.

Najib juga memuji naib presiden tunggal Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein, selepas seorang lagi naib presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memilih meninggalkan parti itu tahun lalu.

"Jika ada yang sudah beralih arah dan tidak 'semporna' lagi, maka 'se-afdhal-afdhalnya' yang kita mahukan seorang yang setia dan tidaklah pula bersombong-sombong,

“Itulah dia Datuk Seri Hishammuddin dari Sembrong," katanya.

Menurut Najib, beliau yakin Umno Bahagian Pagoh dan Semporna akan tetap berdiri teguh dan setia dalam mendukung parti serta kerajaan sedia ada.

Anak Malaysia

Dalam ucapannya yang bertema ‘Umno Penggerak Transformasi Nasional', Najib turut memuji kesetiaan dan walak Puteri Umno seperti yang diberikan Ketua Puteri Umno Bahagian Semporna, Zakiah Kalipunya ketika berdepan episod dan kemelut bahagian itu, yang tetap setia dan teguh serta tidak bertindak keluar parti.

"Begitu juga dengan Ketua Puteri Umno Bahagian Pagoh Rohaiza Ahmad dan pasukannya.

"Inilah contoh walak dan kesetiaan sejati yang kita harapkan," katanya sambil meminta para hadirin memberikan tepukan gemuruh kepada individu berkenaan.

Menyentuh tentang kepimpinan beramanah, Najib berkata beliau memilih untuk terus berjiwa besar, menasihat serta menegur secara baik dan bukannya menghentam secara peribadi bekas-bekas pemimpin yang telah meninggalkan parti itu.

Najib juga mengimbas semula pembabitannya dalam parti itu.

"Sesungguhnya, selama itulah, dari benak hati dan sanubari, saya berucap bukan sekadar seorang presiden parti atau selaku perdana menteri.

"Lebih ulung dan lebih utama dari itu, saya, Najib Razak, adalah seorang Melayu, seorang Islam, seorang Bumiputera dan seorang anak Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS