Tokoh pendidikan negara, Tan Sri Murad Mohamed Nor berkata sistem pendidikan negara sekarang perlu dirombak jika kerajaan mahu memperkasakan sekolah kebangsaan.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, sistem pendidikan sekarang perlu dinilai dan diteliti secara keseluruhannya sebelum sekolah kebangsaan dapat diperkasakan.

Dan menurutnya, langkah-langkah bagi memperkasakan sekolah kebangsaan tidak boleh dibuat secara ad-hoc.

"Kalau hendak memperkasakan sekolah kebangsaan, kita perlu rombak sistem pelajaran sekarang tetapi bukan mengubah Dasar Pendidikan Kebangsaan. Kita tidak boleh buat secara sikit-sikit," katanya kepada pemberita di kediamannya di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut laporan Bernama , Murad yang menjadi Ketua Pengarah Pelajaran selama sembilan tahun sejak 1976, berkata usaha memperkasakan sekolah kebangsaan perlu dimulakan dengan menyediakan guru terlatih yang memahami bidang pendidikan negara.

"Dalam hubungan ini kurikulum latihan perguruan juga perlu dikaji semula agar ia lebih terkini dengan perubahan dalam bidang pendidikan, yang lebih bersifat global," katanya.

Sistem pendidikan negara juga boleh dirombak menerusi aspek mata pelajaran, di mana pelajar perlu dibekalkan dengan pengetahuan dan pelajaran tentang amalan kebudayaan kaum serta perkara yang boleh dan tidak boleh kepada semua golongan pelajar, dan ia tidak terhad kepada satu kaum sahaja.

Pengajaran bahasa Inggeris

"Tujuannya ialah supaya para pelajar dapat memahami dan tahu mengenai resmi dan budaya bangsa-bangsa lain. Ia tidak akan menjadi beban. Kalau kita dapat wujudkan suasana yang harmoni, hormat-menghormati dan memahami adat resam bangsa lain, ia secara tidak langsung dapat memperkasakan sekolah kebangsaan," katanya.

Selain itu, katanya, pembelajaran dan pengajaran subjek matematik dan sains dalam bahasa Inggeris juga perlu diperkasakan lagi kerana ia adalah mercutanda dalam pendidikan negara pada masa sekarang dan akan datang.

"Bahasa Inggeris yang digunakan dalam pembelajaran matematik dan sains hanya bertujuan untuk melatih pelajar menguasai bahasa itu. Tidak bermakna kita akan melupakan bahasa ibunda kita sendiri," katanya.

Ditanya mengenai penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bagi mengimbangi pembelajaran dan pengajaran sains teknologi dengan agama, beliau berkata, pendidikan sebegitu lebih elok dijalankan di sekolah kebangsaan.

"Memang bagus, tetapi kenapa kita tidak boleh pindahkan sistem pendidikan SMKA kepada sekolah kebangsaan.

"Sepatutnya di sekolah kebangsaan kita boleh mendapat kesemua pelajaran yang ada dalam sistem pendidikan kita, mendapat pendidikan agama, pendidikan sains dan teknologi, pendidikan bahasa tanpa mengabaikan bahasa-bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil," kata Murad.

Katanya, sistem pendidikan perlu memberikan pelajaran yang seimbang kepada semua pelajar dari segi bahasa, sains dan teknologi, sejarah dan asal-usul masyarakat, agama, kebudayaan dan sebagainya.

"Jadikan sekolah kebangsaan benar-benar kebangsaan. Kalau kita sudah memperkasakan sekolah kebangsaan, semuanya ada di sana dan orang tidak boleh mempersoalkannya lagi," katanya.