Empat buah Klinik Kesihatan di Terengganu dipindahkan ke tapak baru berikutan lokasi asalnya sering dinaiki air ketika musim tengkujuh.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohamad Omar berkata ia melibatkan tiga Klinik Desa dan sebuah Klinik Pergigian di daerah Kemaman, Dungun dan Besut.

Beliau berkata di Kemaman ia melibatkan Klinik Desa Seberang Tayor dan Klinik Kesihatan Pasir Gajah, Klinik Kesihatan Pasir Raja di Hulu Dungun serta Klinik Pergigian Pasir Akar di Hulu Besut.

"Kesemua klinik ini terjejas setiap kali banjir kerana dinaiki air hingga menyebabkan operasinya terpaksa ditutup buat sementara waktyu”, katanya kepada pemberita di Besut.

Mengenai persiapan sekiranya berlaku banjir, Dr Mohamad berkata Jabatan Kesihatan telah menubuhkan pasukan di peringkat negeri dan daerah dengan melibatkan 443 petugas.

Beliau berkata kawasan pendaratan helikopter perlu disediakan untuk pihak Hospital Besut memindahkan pesakit sekiranya perlu ke hospital lain seperti Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan atau Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

- Bernama