Persetujuan yang dicapai oleh negara-negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengurangkan pengeluaran telah melonjakkan harga minyak hampir 10 peratus dalam dagangan semalaman.

Negara-negara anggota OPEC telah bersetuju untuk mengurangkan bekalan sebanyak 1.2 juta tong sehari (bpd) mulai Januari tahun depan.

Pada hari ini, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada di paras AS$49.93 setong manakala minyak mentah Brent juga meningkat kepada AS$52.41 setong, menurut laman oilprice.com.

Penganalisis penyelidikan penyedia perkhidmatan pembrokeran antarabangsa FXTM Lukman Otunuga berkata, keputusan pengurangan pengeluaran OPEC yang mengejutkan itu telah meredakan kebimbangan akan lebihan bekalan dalam pasaran.

"Pengurangan pengeluaran ini akan menjadi yang pertama dalam tempoh lapan tahun, langkah penting yang memastikan OPEC mengekalkan kredibilitinya," katanya dalam kenyataan, memetik laporan Bernama.

Ujar beliau, dengan pengurangan pengeluaran itu, paras siling baharu OPEC akan ditetapkan pada 32.5 juta bpd.

Selain itu, katanya, perjanjian tersebut juga memperlihatkan toleransi Arab Saudi, Iran dan Iraq dalam detik-detik paling kritikal ini, mengenepikan perbezaan mereka masing-masing dan memastikan harga minyak terus meningkat.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata selain pengurangan pengeluaran OPEC, negara-negara bukan anggota terutamanya Rusia, juga dijangka mengurangkan pengeluaran mereka untuk melonjakkan lagi harga.

Bank pelaburan itu berkata, menurut Menteri Tenaga Rusia Alexander Novak, negara tersebut akan mengurangkan pengeluaran secara perlahan-lahan dalam separuh pertama 2017 sehingga sebanyak 300,000 bpd.

Ia berkata pengeluar utama bukan OPEC lain termasuk Azerbaijan dan Kazakhstan, juga merancang mengurangkan pengeluaran kepada kira-kira 600,000 bpd.

Kira-kira sebulan yang lalu, Goldman Sachs Group Inc. memberi amaran harga minyak global dijangka menjunam ke paras AS$40 jika rundingan antara anggota-anggota OPEC pada akhir bulan lalu gagal.

Memetik laporan Bloomberg, para penganalisis Goldman termasuk Damien Courvalin dalam nota bertarikh 31 Oktober 2016 menyebut, kekangan dalam melaksanakan kuota pengeluaran selain perbalahan antara anggota OPEC mengurangkan kebarangkalian untuk rundingan tersebut berjaya.

"Kekangan kemajuan dalam melaksanakan kuota pengeluaran dan perbalahan yang meningkat antara pengeluar OPEC memberi bayangan tidak positif untuk memeterai perjanjian pada 30 November ini," ujarnya.

Negara-negara anggota OPEC bakal bertemu di Vienna untuk melaksanakan pengurangan pembekalan pertama dalam tempoh lapan tahun dan mendapatkan sokongan pengeluar lain bukan ahli OPEC untuk menyertai tindakan sedemikian, terutama Rusia.

Setakat jam 4.13 petang ini, minyak mentah Brent didagangkan pada paras AS$49 setong.