Kerajaan gagal membantu keluarga miskin tegar di Kedah sehingga ini akibat kelemahan dari segi bentuk dan corak bantuan yang dilaksanakan, demikian menurut kajian sekumpulan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sebaliknya, kajian mereka mendapati kaedah dan corak bantuan sekadar mengangkat keluarga terbabit keluar daripada garis kemiskinan tegar, tetapi masih terbelenggu dengan kemiskinan.

Kriteria kemiskinan tegar, mengikut kaji selidik tersebut, ialah isi rumah yang berpendapatan RM265 sebulan dengan anggota keluarga antara empat dan lima orang.

Oleh itu, mereka mencadangkan supaya Kajian itu mencadangkan supaya dikurang pemberian bantuan sekali saja walaupun ia amat digemari penduduk terbabit kerana membuat mereka terus bermentaliti subsidi, tetapi gagal meningkatkan pendapatan mereka.

Kaji selidik yang dijalankan di kawasan Parlimen Merbok itu membabitkan 64 responden terdiri daripada ketua isi rumah dalam golongan miskin tegar di Semeling, Bujang, Merbok, Teloi Kiri, Sungai Petani dan Sidam Kiri.

Menurut Bernama, laporan kaji selidik itu yang disediakan oleh Prof Madya Dr Zaliha Hussin, Prof Madya Kamal Bahrin Shamsuddin dan Zauyah Abdul Razak mengemukakan pelbagai cadangan bagi membasmikan kemiskinan untuk membantu kerajaan mengatasi masalah berpanjangan itu.

Kajian itu turut mendapati bahawa individu miskin bersikap menerima ketentuan kehidupan sekarang serta ada yang menyifatkan pendidikan tidak dapat meningkatkan pendapatan.

Ikatan kekeluargaan

Penduduk miskin menyifatkan kehidupan mereka itu satu takdir dan terpaksa bergantung kepada bantuan.

"Walaupun mempunyai kemahiran dan keyakinan diri, mereka tidak pandai mencari peluang dengan kemahiran yang dimiliki, terikat kepada ikatan kekeluargaan dan amat pentingkan tanggungjawab sosial seperti menghadiri kenduri daripada bekerja.

"Mereka juga berpendapat bahawa wujud pilih kasih di kalangan pihak yang mempunyai autoriti di peringkat bawah," demikian antara petikan daripada laporan kajian itu.

Kajian itu menjalankan analisis terhadap pelaksanaan dan keberkesanan lapan program menerusi Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) di kawasan Merbok iaitu Bantuan Rumah, Tambahan Makanan Seimbang, Pembangunan Masyarakat Setempat, Pembangunan Minda Insan, Latihan dan Pendidikan, ASB Sejahtera, dan Program Bangunan TASKA.

Menurut kajian itu, semua responden tidak mendapat manfaat daripada program membasmi kemiskinan yang lain kerana tidak ada pengetahuan mengenainya.

Penyelidik UiTM itu mendapati wujud jurang maklumat antara penduduk dan agensi pelaksana seperti KEDA kerana penduduk kekurangan atau tiada langsung maklumat mengenai program pembasmian kemiskinan di tempat masing-masing.

Sekiranya ada penduduk yang mempunyai maklumat mengenai program bantuan itu, ia diperolehi daripada rakan ataupun jiran kerana saluran rasmi seperti penghulu, pejabat daerah dan pusat khidmat wakil rakyat tidak berperanan.

Susun semula strategi

Satu-satu saluran rasmi yang berfungsi hanyalah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kata laporan itu.

Rumusan kajian itu, antara lain, mencadangkan supaya strategi bantuan disusun semula dengan mengenal pasti dahulu kumpulan orang miskin mengikut sikap mereka yang dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil Kekal, Pasif dan Aktif.

Kelompok Aktif memerlukan bantuan kemahiran, kursus keusahawanan dan peluang perniagaan manakala kumpulan Kekal memerlukan penelitian terhadap kekurangan kemampuan mereka untuk didedahkan dengan pendidikan dan latihan kemahiran yang sesuai dengan fizikal mereka; dan bagi kumpulan Pasif adalah pembangunan sahsiah dan moral.

Kajian itu mendapati golongan miskin tegar masih dibelenggu dengan fahaman menyerah kepada takdir dan kurang inisiatif untuk mengubah nasib.

Dalam laporan eksekutifnya, kajian itu menyarankan supaya sebuah organisasi bagi golongan penduduk miskin tegar diwujudkan bagi memudahkan mereka menyalurkan masalah dan menerima bantuan secara lebih berkesan dan membina.

Kajian itu juga mengesyorkan tahap pendidikan anggota keluarga termiskin di luar bandar dipertingkatkan supaya kadar pengangguran dikurangkan dan mereka dapat meraih gaji yang lebih baik.

Peranan wanita daripada keluarga termiskin juga harus diperluaskan daripada surirumah semata-mata kepada menjadi penyumbang bersama dalam mencari nafkah untuk keluarga.

Bantuan modal

Laporan eksekutif kajian itu disediakan untuk Ahli Parlimen Merbok Datuk Zainuddin Maidin yang juga Timbalan Menteri Penerangan.

Kajian itu mengesyorkan supaya kerajaan meneruskan bantuan umum seperti bantuan modal dan membantu orang miskin mencari pekerjaan kerana kebanyakan golongan itu didapati menganggur atau sering bertukar kerja.

Langkah ini penting kerana kebanyakan penduduk miskin inginkan bantuan mendapatkan pekerjaan tetap dengan pendapatan yang terjamin atau diberi bantuan modal bagi memulakan sesuatu projek sosio-ekonomi.

Sehubungan itu, kajian UiTM itu menggariskan 10 langkah pelaksanaan program bantuan kemiskinan yang dianggap dapat memantapkan usaha kerajaan membasmi kemiskinan di Merbok dan tempat lain.

1. Utamakan program bagi meningkatkan pendapatan seperti Program Pembangunan Masyarakat Bersepadu dan Program Peningkatan Pendapatan kerana pendapatan adalah penanda aras utama garis kemiskinan.

2. Wujudkan program khas mencegah kemiskinan secara lebih awal dan intensif kepada golongan berpotensi untuk miskin tegar seperti remaja tercicir, insan istimewa dan ibu tunggal.

3. Peranan wakil rakyat, pegawai daerah, penghulu, JKKK dan agensi pelaksana dipertingkatkan dan lebih proaktif dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat miskin.

4. Kaji semula permintaan rakyat supaya kuantiti dan kekerapan bantuan ditingkatkan kerana dibimbangi bantuan seumpama itu menggalakkan mereka kekal dalam kemiskinan dan terikat dengan sindrom subsidi.

5. Kurangkan bantuan berbentuk sekali saja.

6. Tingkatkan pendidikan kepada penduduk mengenai tujuan sebenar program pembasmian kemiskinan melalui risalah atau berjumpa kumpulan sasaran secara berjadual.

7. Latih mereka yang berpelajaran dan berpengaruh seperti imam, guru, siswazah dan sukarelawan menjadi ejen untuk membimbing dan memberi penerangan kepada penduduk miskin.

8. Rancang hanya program yang realistik dan praktikal.

9. Program pembasmian kemiskinan perlu bersifat untuk kurangkan penghijrahan ke bandar kerana penduduk dari kampung boleh terperangkap dengan kemiskinan bandar.

10. Pantau program secara berkala dan teratur.