Anggota Parlimen Gopeng Lee Boon Chye mencadangkan agar Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggunakan logo PKR sebagai simbol bersama pada pilihan raya umum ke-14.

"Cadangan tersebut adalah berdasarkan kepada penerimaan dan pandangan positif terhadap PKR oleh rakyat, tanpa mengira negeri atau kaum.

"Simbol PKR juga mewakili kepelbagaian masyarakat di Malaysia," ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Lee menegaskan bahawa cadangan itu hanya boleh dibawa ke hadapan dengan konsensus dari semua pihak.

Lee berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub yang mahu HARAPAN dan BERSATU bertanding dalam pilihan raya umum akan datang dengan menggunakan logo yang sama.

Lee dari PKR itu berkata, cadangan berkenaan bertujuan menunjukkan perpaduan di kalangan pembangkang dan boleh membantu menguatkan HARAPAN.

"Dalam suasana politik semasa yang tidak menentu, langkah ini kritikal dan menjana keyakinan rakyat terhadap HARAPAN serta mencerahkan peluang gabungan itu untuk menewaskan rejim semasa," jelasnya.

[Baca berita penuh]