Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membuka satu kertas siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab meletakkan helaian ayat al-Quran di dalam alas kaki yang dijual di negeri itu.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata setakat ini pihaknya mendapati sebuah pasar raya di daerah Dungun menjual alas kaki berkenaan menerusi satu aduan dari seorang pembeli.

Katanya bahagian penguatkuasa syariah serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan operasi bersepadu untuk mengambil tindakan, termasuk merampas barangan itu dalam masa terdekat.

"Selepas menerima aduan tersebut kita telah membuka kertas siasatan untuk mengenal pasti perkara ini...jika pengeluar produk berkenaan dari negeri lain JHEAT akan memanjangkan perkara ini kepada pihak berkuasa di negeri berkenaan dan jika di Terengganu kita akan ambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Alas kaki berkenaan dibeli dengan harga RM2 dari sebuah pasar raya... ianya menghina kesucian Islam apabila menjual alas kaki mengandungi ayat suci al-Quran," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

Menurutnya tindakan mengikut Seksyen 9, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 boleh dikenakan kepada mana-mana orang yang mempersendakan ayat al-Quran dan hadis.

Katanya jika disabitkan kesalahan, pihak berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Wan Mohd turut menasihatkan kepada pembeli alas kaki yang mengandungi ayat suci tersebut supaya menyerahkannya dengan kadar segera kepada Bahagian Penyelidikan JHEAT untuk dilupuskan.

"Alas kaki yang mengandungi ayat suci ini tidak boleh digunakan demi menjaga kehormatan dan kesucian al-Quran... saya amat kesal dengan pihak pengeluar produk ini kerana tidak menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini dan saya berharap mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan pengeluar alas kaki berkenaan mendapatkan kertas yang mengandungi ayat al-Quran itu daripada syarikat kitar semula bagi menghasilkan alas kaki dengan kadar harga yang murah.

- Bernama