Perebutan bagi jawatan timbalan presiden PAS bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara pemimpin kanan PAS yang telah mengesahkan pencalonan masing-masing.

Mereka ialah penyandangnya, Senator Hasan Shukri; Setiausaha Agung Nasharuddin Mat Isa dan Bendahari PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Abdul Halim menghantar surat penerimaan pencalonan tengah hari tadi. Manakala calon-calon lain telah menarik diri, termasuk Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Abdul Razak, dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hassan Ali kedua-duanya mengesahkan akan mempertahankan jawatan naib presiden.

Seorang lagi naib presiden Datuk Mustafa Ali juga turut menolak pencalonan jawatan timbalan presiden. Bagaimanapun, sehingga ini, beliau dikatakan belum mengesahkan sama ada akan mempertahankan jawatannya sekarang.

Sebelum ini lapan pemimpin dicalonkan bertanding jawatan Timbalan Presiden termasuk Ketua Penerangan Datuk Dr Haron Din, bagaimanapun beliau paling awal menarik diri disebabkan masalah kesihatan.

Abdul Halim sebelum ini bersedia untuk memberi laluan kepada Ketua Penerangan, Dr Haron Din sebelum beliau menarik diri kerana masalah kesihatan.

"Kesediaan saya untuk bertanding ialah bagi membantu presiden memperkasakan parti sebagaimana saya membantu Menteri Besar Kelantan (Datuk Nik Abdul Nik Mat) selama 13 tahun (dalam pentadbiran kerajaan negeri)," kata Abdul Halim kepada pemberita di Kota Bharu mengenai keputusannya itu.

Pengalaman luas

Abdul Halim berkata kesediaannya bertanding berikutan lampu hijau dari Nik Abdul Aziz selain untuk menghormati keputusan Badan Perhubungan PAS negeri dan beberapa kawasan PAS yang terawal mencalonkannya seperti Kubang Kerian, Gua Musang, Bachok dan Kemaman.

Mengenai peluang untuk memenangi jawatan itu, Abdul Halim berkata walaupun semua calon mempunyai peluang yang sama, kelebihan yang ada padanya ialah dari segi pengalaman dalam pengurusan dan kewangan kerajaan negeri ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Besar.

Menurut laporan Bernama, Abdul Halim juga berkata beliau juga terlibat dalam merangka rancangan menawan balik Kelantan pada 1999 selepas parti itu tumbang pada 1978.

Katanya kesediaan beliau bertanding ialah berikutan adanya angin perubahan dalam gerak kerja bagi membentuk satu pasukan yang padu bagi merangka pelan yang strategik dan realistik dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

"PAS tidak boleh mengharapkan kepada ceramah dan mengajar sahaja kerana dengan adanya pelan yang realistik, parti itu mempunyai masa depan yang cerah kerana orang ramai bukan menolak Islam tetapi produk kita kurang laris kerana ketiadaan pendekatan, strategi dan taktik," katanya.

Beliau berpendapat PAS harus memiliki ciri-ciri gerakan politik rakyat yang dinamik bagi membolehkan parti itu bergerak selain melakukan perubahan pemikiran daripada imej pembangkang kepada imej "parti pemerintah".

Katanya daripada pengamatannya, beliau mendapati ada beberapa ruang atau sudut yang perlu dibuat oleh Pas bagi memenuhi kehendak anggota parti dan anjakan paradigma politik negara.

"...dua perkara perlu diberi perhatian iaitu turun ke bawah memahami masalah ahli dan mengumpul kekuatan dalam menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.