Anuar nafi tolak gabungan Keadilan-PRM
Setiausaha Agung Parti Keadilan Nasional nafi menyertai "mesyuarat sulit" bagi menentang penggabungan parti itu dengan Parti Rakyat Malaysia beberapa jam selepas perwakilan Keadilan menyokong usaha tersebut.
"Saya tidak tahu mengenai perkara ini. Saya tidak menerima apa-apa maklumat mengenainya," kata Mohd Anuar Tahir kepada malaysiakini .
Beliau juga menganggap perkara itu "sengaja diada-adakan dan mungkin bertujuan memecah-belahkan parti."
Sumber-sumber yang rapat dengan kepemimpinan tertinggi parti itu memberitahu malaysiakini hari ini, selepas mesyuarat agung khas parti Ahad lalu, 11 pemimpin parti itu, yang dikaitkan dengan 'kumpulan pro-Abim', mengadakan pertemuan itu di pusat latihan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kajang, Selangor.
Ketika mesyuarat agung itu, hampir dua pertiga daripada 270 perwakilan menyokong penggabungan parti itu dengan PRM.
Menurut sumber itu, 11 orang itu dikenali sebahagian daripada kumpulan yang "tidak berpuas hati" dengan keputusan mesyuarat agung tersebut.
Sumber mendakwa mereka, termasuk Anuar, merancang strategi untuk mengambil "tindakan selanjutnya" berhubung proses penggabungan dua parti itu.
Mesyuarat agung khas itu memberikan mandat kepada Majlis Pimpinan Tertinggi melaksanakan semua langkah ke arah percantuman.
Timbalan Presiden Dr Chandra Muzaffar berkata, selepas mesyuarat agung itu, jawatankuasa pusat Keadilan akan berunding dengan rakan gabungannya sebelum kongres nasional PRM pada 15 Julai depan.
Kata sumber, keputusan undi menunjukkan wujud "usaha terancang" bagi menggagalkan penggabungan.
Daripada corak pengundian, hujah sumber lagi, ketiga-tiga usul gagal mencapai majoriti dua pertiga - diperlukan untuk membolehkan pindaan perlembagaan parti itu.
Abim nafi
Daripada usul pertama, menerima percantuman Keadilan dengan PRM, 172 orang menyokong dan 98 membantah atau majoriti 63.7 peratus.
Usul kedua, menerima pindaan-pindaan perlembagaan akibat percantuman tersebut, mendapat sokongan 168 undi, bantahan 101 dan selebihnya rosak (62.6 peratus).
Sementara usul ketiga, memberikan mandat kepada Majlis Pimpinan Tertinggi melaksanakan semua langkah ke arah percantuman, mendapat 169 undi sokongan dan 101 undi bantahan (62.2 peratus).
Semalam malaysiakini melaporkan, tindakan disiplin boleh diambil terhadap ahli Keadilan yang "melobi secara haram" bagi menentang langkah penggabungan.
Jika terdapat aduan rasmi, mereka yang terlibat dengan kegiatan itu boleh dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib. Jawatankuasa bebas itu diketuai seorang bekas profesor madya, Mokhtar Shafie, yang juga ahli Keadilan.
Sementara itu, Naib Presiden Abim Abdul Halim Ismail berkata keputusan Keadilan itu adalah hak parti itu dan tidak kena mengena dengan pertubuhannya.
"Saya tiada maklumat mengenai hal itu. Malah tiada sesiapa yang maklumkan kepada pihak Abim atau kepada saya sendiri selaku Timbalan Presiden Abim," katanya, apabila diminta mengesahkan penglibatan pertubuhan itu dengan mesyuarat sulit itu.
Menurutnya lagi, barisan pemimpin Abim juga tidak memandang penggabungan sebagai isu pertubuhan itu dan tidak mahu terlibat dalam isu dalaman Keadilan.
Ditanya mengenai kemungkinan ahli Abim turut terbabit dengan usaha menentang keputusan Keadilan, Abdul Halim menjawab: "Walaupun isu penentangan itu wujud, ia tidak semestinya ahli Abim sahaja tetapi juga ahli parti (Keadilan) yang lain."
"Salah faham mungkin timbul dan (terdapat kumpulan yang) mengatakan ahli Abim tidak setuju dengan penggabungan itu. (Tanggapan) ini boleh memberikan gambaran negatif kepada Abim," katanya.
Abdul Halim menambah, perbezaan pendapat adalah perkara lumrah dalam sesebuah parti politik.

