Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Siapa sangka seorang budak kampung, Mohd Faiz Subri tiba-tiba mencuri perhatian dunia kerana jaringan penyerang Pulau Pinang itu telah disenarai pendek antara tiga gol terbaik untuk Anugerah Puskas FIFA 2016.

Selepas disenarai pendek untuk anugerah tersebut, beliau sekarang nampaknya perlu memadankan pakaian formal yang bersesuaian untuk menghadiri majlis Anugerah FIFA di Zurich pada 9 Jan tahun depan.

Pemain berusia 29 tahun yang berasal dari Air Hitam, Kedah mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mengundi untuk membolehkan jaringannya disenarai pendek.

Ketika dihubungi Bernama, Mohd Faiz berkata, beliau tidak menjangka dipilih untuk berada di tiga tempat teratas daripada senarai 10 teratas, menewaskan pemain-pemain handalan lain.

"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana memberi saya peluang ini dan anugerah ini amat bermakna dalam hidup saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap orang di luar sana yang percaya bahawa saya telah melakukan yang terbaik," kata beliau ketika dihubungi.

Menurut laman web FIFA, dua lagi pencalonan yang disenarai pendek ialah jaringan Johnath Marlone dari Brazil dan pemain wanita Venezuela Daniuska Rodriguez, dari pusingan pertama 10 calon yang disenarai pendek.

Mohd Faiz juga berazam untuk menjadi pemain lebih baik pada masa akan datang dan jika diberi peluang untuk mewakili negara dengan menjadi pemain kebangsaan, beliau dengan rasa gembira menerimanya.

"Fokus saya sekarang ialah untuk menjadi pemain yang lebih baik dan dengan pencalonan ini, semangat saya untuk menjadi yang terbaik semakin berkobar-kobar," katanya.

Mohd Faiz juga berkata sehingga kini beliau tidak mempunyai apa-apa yang istimewa kerana tidak menjangka berada dalam senarai tiga teratas kerana hanya dimaklumkan mengenai perkara itu kira-kira jam 8.30 malam tadi.

"Saya pasti akan memakai sesuatu yang menarik. Ini adalah detik paling membanggakan dalam hidup saya dan juga seluruh keluarga saya," katanya.

Mengenai keluarganya, Mohd Faiz berkata mereka gembira dan mendoakan semoga ini akan menjadi batu loncatan bagi saya untuk muncul sebagai pemain terbaik pada masa depan.

"Keluarga saya terutama isteri saya, anak-anak dan ibu bapa memberi sokongan kepada saya selama ini, dan bagi saya, itu sudah cukup. Ini akan membanggakan mereka kerana dari seorang pemain kampung saya kini disenarai pendek untuk anugerah FIFA,"katanya.

Mohd Faiz menyempurnakan jaringan yang menakjubkan itu semasa membuat sepakan percuma ketika menentang Pahang pada aksi Liga Super, 16 Februari lepas, untuk membolehkan pasukan itu mengatasi Pahang 4-1.

Laman web FIFA itu tidak menyatakan jumlah undi yang diterima bagi ketiga-tiga jaringan terbaik itu.

Setakat pukul 9.30 malam, gol jaringan Mohd Faiz telah disaksikan menerusi Youtube oleh 1,384,112 penonton, Marlone (904,436 penonton) dan Rodriguez (618,594 penonton).

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS