Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemutihan: Langkah Umno berkuat parti hadapi PRU14
Diterbitkan:  Dec 3, 2016 7:45 AM
Dikemaskini: Dec 3, 2016 7:14 AM

PAU 2016 Kekuatan Umno kini sangat bergantung kepada kesetiaan dan ketaatan anggota, untuk bergerak bersama saf kepimpinan parti dalam mendepani apa jua serangan pembangkang.

Beberapa perwakilan dan penganalisis politik berpandangan jika prinsip wala' dan kesetiaan dihayati dan diamalkan anggota di setiap peringkat, isu pemutihan anggota parti ini tidak timbul.

Bendahari Umno bahagian Semporna Datuk Razak Tun Sakaran berkata ucapan dasar presiden parti, Datuk Seri Najib Razak mengenai penderhakaan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap parti, agama dan bangsa merupakan isyarat jelas beliau mahukan Umno dianggotai mereka yang benar-benar sayang dan cintakan parti.

"Proses pemutihan ini perlu berikutan tindakan beberapa pemimpin kanan Umno yang dengan jelas dari segi pendirian dan falsafah mereka bercanggah dengan prinsip perjuangan Umno.

"Untuk maju ke hadapan, saya lihat (pemutihan) ini amat penting sekali kerana kita tak nak ada duri dalam daging atau gunting dalam lipatan dalam parti, sewaktu kita mengatur strategi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14," katanya.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam ucapan dasar pada Rabu dengan jelas menyatakan mana-mana anggota yang tidak lagi ingin bersama Umno supaya keluar daripada barisan.

"Yang tidak ingin bersama Umno, sila keluar sekarang. Keluar dari barisan. Jangan jadi musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, api dalam sekam. Jangan jadi dayus, jangan jadi bacul. Jangan sembunyi. Kalau tak suka, lawan depan-depan."

Ketua Puteri Umno bahagian Padang Serai Faizah Pear Muhamad pula menyarankan agar parti melakukan Operasi Perdana Pemutihan Ahli bagi menggugurkan mana-mana anggota yang sudah bertukar parti secara terbuka ataupun senyap.

Razak berkata apa yang disuarakan kedua-dua sayap itu pada perhimpunan agung masing-masing membuktikan perkara itu sememangnya serius dan perlu ditangani segera.

"Jika ada elemen ini (gunting dalam lipatan) dalam parti, sukar untuk parti mengatur strategi kerana unsur khianat dan sabotaj akan berlaku.

"Umno telah banyak pengalaman sebelum ini melalui PRU11, PRU12 dan PRU13 yang lalu, elemen sabotaj ini agak ketara. Saya ingat, kalau (ada anggota yang) tak setuju (dengan kepimpinan), secara gentlemen, keluar (parti)," katanya yang setuju pemutihan dilakukan di semua peringkat dalam Umno.

Setiausaha Pemuda Umno Sabah Mohammad Bahrin Abd Karim berkata apa yang disuarakan Khairy itu mungkin ekoran kebimbangan akan ada dalam kalangan anggota Umno yang bersimpati terhadap bekas pemimpin Umno yang kini berpaling tadah.

"Saya setuju pemutihan dilakukan dan ia sepatutnya dilakukan dahulu lagi bukan sekarang. Kita kena selidik dulu mereka yang berada dalam parti, dan jika didapati mereka ini tidak bersama lagi dengan perjuangan parti, maka keluarlah secara terhormat," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata pemutihan boleh dilakukan namun harus dilaksanakan dengan bijaksana.

"Umno perlu bijak mengurus kepelbagaian dalam parti. Selagi anggotanya percaya dan yakin dengan dasar perjuangan, mereka ini perlu dijaga dan dipelihara.

"Pemutihan boleh dilaksanakan kerana ia tak memberi kesan pun. PAS juga membuat pemutihan sehingga ada anggota parti masuk AMANAH (Parti Amanah Negara). Namun adalah lebih baik kepada anggota Umno sendiri yang tidak lagi sehaluan mengambil langkah keluar parti," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS