42 kanak-kanak pelarian di pusat tahanan di Msia
Terjemahan Terdapat 42 orang kanak-kanak pelarian yang ditahan bersama ibu bapa mereka di 14 pusat tahanan imigresen di negara ini, kata Pesuruhjaya Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR).
Terjemahan Terdapat 42 orang kanak-kanak pelarian yang ditahan bersama ibu bapa mereka di 14 pusat tahanan imigresen di negara ini, kata Pesuruhjaya Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR).
Mereka terdiri daripada 39 kanak-kanak lelaki dan tiga perempuan, dengan yang paling muda berusia tidak sampai tiga tahun. Manakala majoritinya berusia 13 hingga 17 tahun.
Menurut UNHCR, 33 daripada mereka adalah keturuan China Burma, tiga Rohingya manakala yang lainnya keturunan Aceh dan lain-lain bangsa.
Kanak-kanak yang paling lama tinggal di situ telah ditahan sejak sembilan bulan lalu manakala seorang wanita Aceh telah melahirkan anak ketika dalam tahanan tahun lalu, tetapi telah dibebaskan.
Ketua UNHCR Volker Turk, ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur semalam berkata, di pusat tahanan Semenyih sahaja, beliau secara peribadi mengenali 19 kanak-kanak pelarian terbabit.
Katanya, penahanan mereka bukan sahaja melanggar Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-Kanak (RC) yang turut ditandatangani oleh Malaysia, tetapi juga Garispaduan UNHCR mengenai Kanak-Kanak Pelarian, yang menyatakan pencari suaka di bawah umur tidak boleh ditahan.
"Pada prinsipnya, kanak-kanak tidak boleh ditahan sama sekali. Ianya memudaratkan pembangunan mental dan personaliti mereka, dan ia juga menghalang mereka daripada mendapat pendidikan," tambahnya.
Keadaan kem menyedihkan
Keadaan kanak-kanak terbabit, kata Turk lagi, bertambah buruk lagi dengan keadaan pusat tahanan imigresen yang menyedihkan kerana ianya dibina sebagai pusat tahanan sementara sebelum penghuninya dihantar pulang atau diterima negara-negara lain.
Badan-badan hak asasi manusia di dalam dan di luar Malaysia pernah membangkitkan keadaan buruk di pusat-pusat tahanan imigresen di negara ini yang sesak dengan tahanan, dengan keadaan kebersihan dan kesihatan yang teruk, makanan tidak berkhasiat serta layanan buruk oleh pegawai-pegawai yang bertugas di situ.
Menurut Turk, walaupun keadaan serta pengendalian pusat-pusat tersebut semakin baik sejak diambil oleh Jabatan Penjara, tetapi masih banyak lagi yang perlu diperbaiki,.
"Pusat-pusat ini bukan dibina sebagai tempat tahanan kekal, jadi pembinaannya tidak seperti kemudahan di penjara," tambahnya.
Katanya lagi, kehadiran empat kanak-kanak Rohingya di kalangan mereka yang ditahan, bercanggah dengan janji kerajaan untuk mengiktiraf kaum Rohingya sebagai orang pelarian yang tidak akan ditangkap atau diletakkan dalam tahanan.
Beliau merujuk kepada laporan-laporan sebelum ini mengenai ramai kaum Rohingya, termasuk di bawah umur, yang ditangkap dan didakwa kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Penangkapan mereka berterusan selepas bermulanya gerakan menahan pendatang tanpa izin Mac lalu.
Sewaktu perbicaraan di mahkamah pada 18 Mei lalu di hadapan Majistret Mohd Aimi Zaini Mohd Azhar, seorang rakyat Rohingyan Rehena Bibi Zafar Ahmad kelihatan mendukung anaknya yang berusia empat tahun, Sufia Hafiz, ketika tuduhan dibaca.
Adalah dipercayai Sufia telah bersama ibu sepanjang tahanannya. Pada bulan September tahun lalu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendedahkan bahawa 43 kanak-kanak ditahan di pusat tahanan sementara imigresen di Menggatal, Sabah.
Ianya diikuti dengan satu lagi pendedahan bulan berikutnya mengenai 10 kanak-kanak pelarian dari Aceh dan Burma, termasuk seorang bayi berusia setahun, yang berada dalam tahanan.
Ketika diminta mengulas nasib yang menimpa kanak-kanak pelarian tersebut, Datuk Hamdan Adnan berkata, kanak-kanak tidak sepatutnya berada di tempat seperti itu.
"Melihat kanak-kanak itu tidur hanya di atas hamparan kain atas lantai simen, dengan keadaan hidung yang berhingus, amat mengecewakan," katanya ketika ditemui awal minggu ini.
kurang makanan berkhasiat
Manakala Pengarah Tenaganita, Dr Irene Fernandez pula berkata kebajikan kanak-kanak terbabit tidak dijaga sewaktu dalam tahanan pihak berkuasa imigresen.
"Terdapat ramai kanak-kanak, termasuk bayi, di pusat tahanan imigresen. Sebelum ini, kami pernah terpaksa menyediakan susu, biskut dan makanan lain kepada mereka. Selepas gerakan besar-besaran (menahan pendatang haram), keadaannya di sana bertambah sesak.
"Keadaan seumpama itu sememangnya tidak sesuai langsung untuk kanak-kanak terbabit," kata Irene yang bimbang para ibu mengandung, dan yang menyusu anak-anak mereka, serta kanak-kanak di situ tidak mendapat makanan berkhasiat yang mencukupi.
"Adakah mencukupi dengan hanya memberi mereka yang sedang mengadung atau menyusu anak, makan nasi dan ikan masin sahaja," soalnya.
Irene berkata, pihak berkuasa juga perlu memberi perhatian terhadap keperluan tahanan remaja, yang kini berdepan dengan kemudaratan dari segi mental dan psikologi semasa berbulan-bulan dalam tahanan, serta tidak mendapat kemudahan pendidikan,
"Bayangkan trauma yang terpaka mereka lalui ketika datang haid, contohnya, tanpa mempunyai lampin wanita...malah, selepas dibebaskan pun, tiada mekanisme kaunseling untuk membantu mereka menangani pengalaman yang mereka lalui," katanya.
Manakala sebuah lagi badan hak asasi manusia, Suaram berkata, ketika pihak media tempatan memberi laporan meluas kes Virginia Leong dan anak perempuannya berusia tiga tahun, Naomi, yang ditahan di Australia sejak tahun 2001 kerana kesalahan imigresen, rakyat Malaysia juga tidak harus melupai mereka yang senasib dengannya di sini.
"Ramai pelarian dan pencari suaka yang berdepan dengan pelbagai kesukaran (di Malaysia) sepertima yang dilalui Virginia dan Naomi," kata Penyelaras Suaram, Seah Li Ling.
Pemimpin pembangkang Parti Buruh Australia, Kim Beazley menyifatkan tindakan membebaskan Virginia dan Naomi minggu ini adalah kerana "tekanan daripada laporan-laporan mengenainya dalam akhbar Malaysia."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.