Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan humor sebagai subjektif, dalam reaksinya terhadap kritikan berkaitan penangkapan kartunis politik Zulkifli Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar, yang sering mempersendakan perdana menteri dan isterinya.

Dalam memperjelaskan maksudnya itu, Khalid memberi contoh majalah satira Perancis, Charlie Hebdo, yang menjadi sasaran serangan keganasan kerana menyiarkan kartun mengenai Nabi Muhammad.

"Charlie Hebdo adalah contoh klasik. Barat menganggapnya kebebasan bersuara, tetapi kartun itu menyinggung ratusan juta umat Islam di seluruh dunia," katanya.

Tegasnya, bukan orang Islam sahaja, malah mereka dari agama lain pun turut mempersoalkan perbuatan mencerca agama orang lain.

Malangnya, sesetengah pelampau menterjemahkan kemarahan dalam bentuk keganasan dan pembunuhan, kata Khalid kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Khalid menegaskan bahawa beliau tidak membandingkan karya Zunar dengan kartun yang disiarkan dalam Charlie Hebdo, atau membayangkan ia akan menjuruskan kepada serangan seumpama itu.

"Lebih baik saya perjelaskan terlebih dahulu sebelum ada yang menuduh saya membandingkan kedua-duanya," tegas beliau

Apa yang mahu beliau nyatakan, tegas Khalid, ialah humor itu subjektif, sambil menambah bahawa terdapat beberapa isu, seperti undang-undang di negara tertentu, serta sensitiviti kaum dan agama.

Sebagai contoh, katanya, jika Charlie Hebdo beroperasi di Malaysia dan menyiarkan kartun seumpama itu, maka tindakan akan diambil terhadap majalah itu, editor dan penerbitnya.

"Itulah undang-undang di sini. Tetapi di Barat, undang-undang membenarkan mereka untuk terus mencetak bahan sumpama itu," katanya.

Mengenai Zunar, Khalid berkata tindakan diambil dalam ruang lingkup undang-undang, dan proses mahkamah akan menentukan sama kartunis itu telah melakukan kesalahan.

"Tugas kami adalah untuk bertindak ke atas aduan, menyiasat, mengumpul bukti dan mengemukakan laporan kami kepada Jabatan Peguam Negara.

"Sama ada dia akan didakwa atau tidak, ia terpulang kepada Jabatan Peguam Negara," tambahnya.

[Baca berita penuh]